Expired : 18.06.18

‘Tak sengaja’ tahu kubur besar, kem Wang Kelian


PUTRAJAYA, 3 Ramadan 1440H, Rabu – Saksi ke-22 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini memberitahu beliau hanya melangkah gulungan dawai kawat paras peha untuk masuk ke Malaysia dari Thailand pada Mei 2015.


Mohd Sayuti Zainuddin, jurugambar akhbar Malay Mail berkata, pada 13 Mei 2015, beliau bersama bekas wartawan daripada akhbar sama S Arulldas dan dua warga Thailand yang menjadi ‘sumber berita’ mereka cuba mencari kem Wang Kelian dari Thailand setelah cubaan dari Malaysia gagal.


“Dari Padang Besar kami berempat menaiki pacuan empat roda selama sejam ke sebuah kebun di Ban Talok, Sadao di Thailand.


“Dari kebun itu kami berjalan mendaki bukit selama 45 minit sehingga nampak batu sempadan Malaysia-Thailand bertulisan Thai. Selepas batu sempadan itu kami hanya langkah kawat duri untuk masuk ke Malaysia,” katanya.


Mohd Sayuti berkata, tidak jauh daripada dawai kawat berkenaan, mereka menemui sungai yang dipercayai menjadi tempat pendatang tanpa izin mandi dan minum.


“Tidak jauh dari sungai itu kami berempat menemui lima struktur tanah berbentuk kubur yang ditutup daun dan kelihatan masih baharu di Bukit Genting Perah di Wang Kelian, Malaysia,” katanya.


Pada prosiding hari ini, Mohd Sayuti ditunjukkan gambar yang beliau ambil ketika cuba masuk ke Malaysia melalui Thailand dan beliau mengesahkan gambar itu.


Sementara itu, Arulldas dalam keterangannya pula berkata, sejak Mac 2015 hingga awal Mei 2015, beliau cuba menjejaki kem Wang Kelian dari Malaysia sebanyak enam kali namun gagal.


“Saya tidak berani untuk bertanya kepada penduduk tempatan kerana khuatir mereka adalah ejen kepada sindiket penyeludupan,” katanya.


Arulldas berkata, beliau ‘secara tidak sengaja’ mendapat tahu mengenai kubur besar dan kem Wang Kelian ketika membuat laporan khas peningkatan kes bunuh kelar leher warga asing sebelum mayat dibuang di sekitar Seberang Perai pada hujung 2014 dan awal 2015.


Ketika diminta membuat perbandingan mengenai laluan ke Kem Wang Kelian dari Malaysia dan Thailand yang mana lebih mudah, Arulldas menyifatkan laluan dari Thailand lebih mudah dan kelihatan seperti biasa digunakan orang lain sebelum itu.


RCI Wang Kelian akan bersambung esok. – Bernama


The post ‘Tak sengaja’ tahu kubur besar, kem Wang Kelian appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop