Expired : 18.06.18

Tak Terkejut Pelawa Sertai PPBM… UMNO Akan Kekal UMNO – Khaled

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau tidak akan terkejut kalau ada mana-mana parti politik mahu bekerjasama dengan UMNO kerana UMNO adalah parti terbesar orang Melayu.


Jadi, katanya, adalah logik dan praktikal untuk bekerjasama dengan UMNO dalam menguruskan Malaysia.


“Malah, inilah yang UMNO dan PAS sedang lakukan. Bezanya, di bawah agenda penyatuan ummah UMNO-PAS, wujud strategi, naratif dan niat yang baik sehingga membawa kepada penerimaan dan sokongan besar orang Melayu di seluruh negara.



“Akan tetapi, apabila PPBM atau BERSATU yang mahu mendekati UMNO, malah mengajak parti ini untuk menyertai pasukan kecil mereka. Saya tergamam. Malah, saya kelu dan keliru,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Seingat beliau, UMNO sudah mati, seperti yang didakwa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.


“UMNO sudah rosak dan parti yang korup kerana kononnya mahu mempertahankan sesetengah pemimpin sahaja seperti yang dikecam Tun Mahathir.


“Jadi, adakah kini Tun Mahathir dan tiba-tiba melihat UMNO sebagai parti mati yang hidup semula? Yang secara ajaib sudah tidak korup dan tidak rosak?” soalnya sinis.


Sehubungan itu, beliau berpendirian tegas bahawa, UMNO akan kekal menjadi UMNO.


“Dengan prinsip dan aspirasi yang jelas, kami akan terus berikhtiar mengubah diri dan menjadi lebih baik. Dengan cara dan jalan kami demi orang Melayu, Islam dan Malaysia yang lebih maju.


“Malah, dalam banyak kenyataan sebelum ini, UMNO berpendirian BERSATU bukan suara sebenar orang Melayu. Ia hanyalah rakan kongsi Dap yang tidak serius dengan agenda Melayu.”


Jadi, katanya, atas dasar prinsip, UMNO tidak mahu menjilat kembali ludah sendiri dengan menerima BERSATU.


“Oleh itu, saya secara peribadi dan UMNO sebagai sebuah parti, menolak dengan baik dan tegas, pelawaan Tun Mahathir untuk UMNO menyertai BERSATU.


“Kami tidak mahu menjadi parti yang terdesak dan gilakan kuasa sehingga enggan memperbaiki diri dengan cara yang sewajarnya. Saya hanya berharap kepada Tun Mahathir untuk tidak menghalang kebangkitan dan pemulihan UMNO.


“Selamat maju jaya kepada BERSATU,” katanya lagi. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop