Expired : 18.06.18

Takiyuddin tak balik Kelantan beri keterangan esok?


BANGI, Syawal 1440H, Ahad – Setiausaha Agung PAS dijangka tidak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan esok bagi memberi keterangan berhubung ucapannya mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi perdana menteri berikutan statusnya sebagai ‘bekas banduan’.


“Saya ada urusan di Kuantan hari ini dan esok… mereka (polis) juga tidak ada menghubungi saya, jadi saya tidak akan balik (untuk memberi keterangan),” kata Datuk Takiyuddin Hassan dipetik media tempatan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan pada 23 Mei lalu yang memintanya hadir pada jam 10 pagi esok untuk diambil keterangan.


Takiyuddin dalam ceramahnya ketika kempen PRK Parlimen Sandakan pada Mei lalu antara lain mempersoalkan sama ada Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi perdana menteri berikutan statusnya sebagai ‘bekas banduan’.


Susulan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan membuat laporan polis pada 13 Mei lalu dan meminta siasatan dijalankan terhadap Takiyuddin kerana didakwa seolah-olah mempertikaikan pengampunan diraja diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar.


Beliau diminta memberi keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang berbaur provokasi dan boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam.


Sebelum ini, Takiyuddin mengesahkan beliau menerima faks daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu pada 23 Mei lalu, yang mengandungi arahan memintanya hadir pada jam 10 pagi pada 10 Jun ini, untuk diambil keterangan.


Bagaimanapun, beliau memaklumkan belum membuat keputusan sama ada akan hadir atau tidak bagi memberi keterangan pada hari berkenaan.


The post Takiyuddin tak balik Kelantan beri keterangan esok? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop