Expired : 18.06.18

Tamat monopoli mampu turun harga beras, kata Salahuddin

MUAR, 28 Ramadan 1439H, Rabu – Penamatan monopoli Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas) sebagai pengeluar beras negara mampu menurunkan dan mengawal harga beras di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.


Beliau berkata, ini kerana penamatan monopoli Bernas itu akan membentuk pasaran yang lebih terbuka kepada hasil padi dan beras di negara ini antara lain dengan mewujudkan persaingan yang sihat antara syarikat yang terlibat dalam industri padi dan beras negara.


“Dalam industri padi dan beras negara ini, kita ada pembekalan dan permintaan, jadi bila kita pecahkan monopoli Bernas, kita akan wujudkan persaingan yang lebih baik daripada syarikat-syarikat terlibat bagi penuhi pembekalan dan permintaan itu, seterusnya mampu turun serta kawal harga.


“Namun, tamatnya monopoli Bernas ini tidak bermakna Bernas itu terus dihapuskan, tidak. Bernas masih kekal cuma kita mahu membuka pasaran (padi dan beras) itu kepada umum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Pada 6 Jun lepas, Salahuddin dilaporkan sebagai berkata, Kabinet telah bersetuju untuk menamatkan monopoli Bernas setelah terdapat hujah relevan dikemukakan untuk menamatkan monopoli tersebut.


Beliau berkata, kementeriannya kini sedang merangka model bagi industri dan pasaran padi beras negara setelah tiadanya monopoli Bernas itu, dan memerlukan maklum balas banyak pihak terutamanya rakyat sendiri.


Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara; maklum balas dalaman daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; dan sebuah badan yang akan ditubuhkan terdiri daripada pakar ekonomi, korporat dan pertanian.


“Kita akan bandingkan semua maklum balas ini sebelum mengemukakan kertas cadangan model itu kepada pihak kerajaan. Ini peluang untuk rakyat libatkan diri dalam dasar baharu sebagai pihak berkepentingan selepas penamatan monopoli Bernas ini,” katanya. – Bernama


The post Tamat monopoli mampu turun harga beras, kata Salahuddin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop