Expired : 18.06.18

Tampilkan Sisi Matang, Sissy Imann Nak Move-On

Setelah berkecimpung hampir enam tahun dalam industri muzik Malaysia, Sissy Imann semakin gah melakar namanya sebagai anak seni serba boleh.

Penyanyi yang mesra disapa sebagai Sissy ini bukan sahaja sibuk memenuhi undangan nyanyian, malah turut membintangi beberapa drama tempatan seperti Cinta Belum Tamat Tempoh, Kariah Cak Pong dan Tolong Aku Doktor Cinta serta terbabit dengan program realiti, The House bersama Wani Kyrie dan Sarah Suhairi.

Terbaharu, Sissy diberi penghormatan mengiringi persembahan legenda pop negara, Datuk Jamal Abdillah menerusi alunan pianonya di Anugerah Skrin 2019 pada 27 Oktober lalu.

Kini penyanyi muda yang turut merupakan komposer, guru muzik, pelakon dan pengacara ini, bakal melancarkan single terbaharunya berjudul Sudahlah (Meow!).

Sudahlah (Meow!) merupakan hasil ciptaan Sissy sendiri bersama komposer Faizal Tahir, Mike Chan dan Mage.

Sissy berpendapat lagu Sudahlah (Meow!) menampilkan sisi matangnya.

"Lagu ini sebenarnya bercerita bagaimana nak ‘move on’ daripada orang yang kita sayang.

"Ngiauan kucing digunakan dalam lagu ini kerana saya berpendapat kucing ini sama seperti peneman hidup, kucing di dalam lagu ini merupakan analogi kepada kekasih yang kita sayang dan tidak boleh berpisah.

"Seumpama kucing jalanan yang kita sayang, jaga dan beri makan hari-hari.

"Alih-alih, kucing itu tinggalkan kita dan tak datang lagi jenguk rumah kita... Sebab makanan kat rumah jiran lagi sedap agaknya.

"Terpaksa la kita terima walaupun kita sedih. Kucing pun boleh ‘move on’ pilih mana yang terbaik, takkan kita nak tunggu lagi kan?” seloroh Sissy dalam tawa.
 



Sissy menambah lagi bahawa lagu yang mesra telinga ini turut diberikan sentuhan pengaruh muzik klasikal India-Arab sekaligus menambah lagi nilai estetikanya.

"Pengaruh muzik klasikal India-Arab bukan sahaja menambah warna kepada lagu ini tapi saya turut memilih untuk memasukkan elemen muzik ini sebagai ‘tribute’ kepada watak Marjina dalam filem melayu klasik ‘Ali Baba Bujang Lapok’, seorang hamba wanita yang bijak dalam membuat keputusan sendiri.

"Atas kebijaksanaannya, Marjina akhirnya berjaya memerdekakan dirinya. Dari segi bunyi pula, lagu ini tampil berani dan segar apabila muzik kontemporari diberi suntikan klasik,” ulas Sissy yang baru sahaja menginjak ke usia 24 tahun pada 24 Oktober lalu.

Sudahlah (Meow!) merupakan single keduanya bersama Faithful Music selepas Pesanan Ayahanda.

Sebelum ini Sissy pernah melahirkan beberapa buah single yang menjadi lagu runut bunyi drama bersiri tempatan antaranya Mungkin Kamu, Jatuh dan Keliru.

Malah Sissy juga pernah memenangi anugerah Lagu/OST Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) menerusi lagu Mungkin Kamu, lagu ciptaannya sendiri yang memperkenalkan namanya dalam arena muzik tempatan.

"Saya berharap agar pendengar dapat ‘relate’ dengan lagu ini kerana saya percaya ramai yang susah nak ‘move on’, sukar beranjak pergi daripada hubungan yang sudah berakhir.

"Semoga lagu ini mengingatkan mereka bahawa mereka tidak keseorangan dalam melalui fasa ini," katanya lagi.

Single ini merupakan terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.

Sudahlah (Meow!) boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan Apple Music manakala video muzik rasmi Sudahlah (Meow!) boleh ditonton di Youtube Faithful Music bermula hari ini.


Norlida Ishak Shop