Expired : 18.06.18

Tandukan Ronaldo macam hayunan sempurna golf

CRISTIANO Ronaldo sudah menjaringkan lebih 100 gol menerusi tandukan dan dijangka akan dinobatkan selaku pemain terbaik dalam sejarah menjaringkan gol menerusi gerakan itu.


Kombinasi lompatan dan ketepatan menanduk bola yang dipamerkan Ronaldo sememangnya berada di tahap berbeza berbanding pemain lain.


Bekas penyerang Gillingham, Millwall dan Chelsea, Tony Cascarino menerangkan secara terperinci bagaimana Ronaldo begitu hebat ketika menanduk.



"Keupayaan Ronaldo menjaringkan gol menerusi tandukan amat luar biasa dan dia sangat bekerja keras mengubah daripada seorang pemain sayap di Manchester United satu ketika dulu kepada pemain yang disegani sehingga kini," tulis Cascarino dalam kolumnya di Times.


"Dia menguasai pelbagai kemahiran menanduk ketika kebanyakan pemain hanya mampu menguasai satu atau dua kemahiran saja.


"Saya sentiasa berasakan aspek terbaik dalam permainan saya adalah menerusi tandukan dan tidak ramai yang lebih baik berbanding saya di England semasa aktif beraksi.


"Tetapi tandukan Ronaldo sangat hebat berbanding mana-mana pemain bola sepak.


"Tandukannya seperti hayunan sempurna di dalam golf. Segala-galanya mengikut langkah tersusun dan anda mempunyai peluang tipis untuk menafikan cubaannya," katanya.