Expired : 18.06.18

‘Tanya parti lain mana mereka dapat wang’: Hadi Awang


BANGI, 3 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap parti politik lain, sebagaimana dihadapi PAS berhubung dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


“Patutnya kena tanya pada parti lain juga, mana mereka dapat duit. Jangan tuding jari pada kita sahaja. Kita ada sumber kita. Parti lain mana sumber (kewangan)?


“PAN mana ada cawangan, DAP mana ada cawangan. Mereka bertanding begitu saja. Jadi mana duit mereka dapat? Kena siasat itu, siasat semua,” katanya menerusi rakaman video sidang media disiarkan di laman Facebook beliau hari ini.


Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga Presiden PAS mengakui terbuka dan akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan SPRM berhubung kes itu.


“Memang kita suka orang siasat ni sebab kita mahu jadi parti yang bersih. Bukan cukup dengan kenyataan menteri di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sahaja.


“Ada soalan di Parlimen ketika itu, berapa ramai Ahli Parlimen kepada semua parti politik yang disiasat dan (jawapan menteri) BN ada jumlah yang disiasat, Pakatan Harapan (PH) ada jumlah yang disiasat, tapi PAS tak ada (jumlah yang disiasat),” katanya.


Kontroversi PAS menerima wang daripada UMNO timbul semula apabila Abdul Hadi pada 1 Februari lalu, membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown, berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit.


Rewcastle Brown sebelum ini mendakwa pimpinan tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).


Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London selepas Abdul Hadi meneliti semua aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan terhadap Rewcastle Brown selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.


Rewcastle Brown turut menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi dan kedua-dua pihak bersetuju tiada perintah berkenaan kos. Kedua-dua pihak juga tertakluk pada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian berkenaan.


The post ‘Tanya parti lain mana mereka dapat wang’: Hadi Awang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop