Expired : 18.06.18

Taranum hebat

PUTRAJAYA:Tidak hanya hebat di persada tempatan, qari dan qariah tempatan turut laku dan
menyerlah di pertandingan tilawah peringkat antarabangsa menerusi penganjuran di lebih 18 negara sejak beberapa tahun lalu.


Nama hebat seperti Abdullah Fahmi Che Nor, Nor Azrah Ayub, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, Datuk Hanimzah Jalaluddin dan Abdul Khair Jalil antara bakat tempatan yang pernah menempa nama dan menjuarai siri tilawah al-Quran di luar negara.


Selain menimba pengalaman berguna, hadiah yang ditawarkan bukan calang-calang, malah ada pertandingan tilawah yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM280,000 untuk johan.


Sebagai contoh, Dubai International Holy Quran Award Dubai di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menawarkan hadiah wang tunai RM280,000 bagi juara, manakala The Kuwait International Prize For Memorization, Recitation And Tajweed Of The Holy Quran di Kuwait pula menawarkan hadiah juara sebanyak RM180,000.


Selain itu, King Abdulaziz International Competition For Memorizing, Reciting And Interpreting Qur’an di Arab Saudi pula menawarkan hadiah wang tunai RM130,000 kepada bakal juara.


Qari negara, Abdullah Fahmi sendiri pernah menjuari dua pertandingan tilawah berprestij iaitu Pertandingan Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-10 di Kuwait (2019) dan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Moscow, Russia Ke-17 (2016) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing RM64,857 dan RM20,000.


Malah, Abdul Khair juga pernah menjuarai pertandingan tilawah di Kuwait sekitar tahun 2016 selain Hanimzah yang muncul johan dalam beberapa siri tilawah yang dianjurkan di sekitar negara Asean beberapa tahun lalu.


Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan, wakil negara sudah terbabit dalam 24 pertandingan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di 18 negara di seluruh dunia termasuk negara Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Kuwait, Arab Saudi, Qatar, Rusia dan lain-lain.


Beliau berkata, pihaknya akan menguruskan penghantaran wakil Malaysia untuk menyertai pertandingan berkenaan sekiranya mendapat jemputan dari luar negara.


“Bagi tujuan tersebut, Jakim akan memilih peserta yang mendapat tempat utama dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun semasa atau sebelumnya bagi menyertai pertandingan di luar negara.


“Pada masa sama, peserta yang terpilih juga hendaklah menepati syarat khusus yang ditetapkan negara penganjur,” katanya.


Mohamad Nordin berkata, tujuan Jakim menghantar wakil ke pertandingan berkenaan adalah bagi mengetengahkan bakat dan kebolehan peserta Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus menaikkan imej serta mengharumkan nama negara.


Menurutnya, penghantaran wakil Malaysia juga bagi memenuhi jemputan daripada negara berkenaan sebagai timbal balas kepada sokongan dan pembabitan negara penganjur tersebut dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa yang dianjurkan Malaysia setiap tahun.


“Selain menaikkan imej serta mengharumkan nama negara, peserta mendapat pendedahan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa di luar negara sejurus dapat meningkatkan lagi kualiti tilawah atau hafazan al-Quran peserta Malaysia.


“Kemahiran yang diperolehi ini membolehkan mereka mencurahkan kembali kepada masyarakat ke arah melahirkan lebih ramai lagi qari dan qariah serta hafiz dan hafizah Al-Quran,” katanya.


Katanya, Jakim memberikan elaun baju kebangsaan sebanyak RM200 dan juga elaun saguhati galakan RM100 sehari, manakala kos tiket penerbangan antarabangsa, hotel penginapan dan makan minum pula ditanggung negara penganjur.



Belajar al-Quran tak kira keturunan


PUTRAJAYA: Dilahirkan sebagai keturunan Arab atau tidak, jika tidak mempelajari al-Quran belum tentu dapat membaca surah atau ayat daripada kitab suci dengan betul dan tepat.


Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang juga hakim tilawah al-Quran berkata, beliau akui tidak hairan apabila qari dan qariah tempatan dapat kuasai tarannum dan tajwid dengan baik biarpun bukan berketurunan Arab kerana rata-rata mereka berjaya kuasai kitab suci itu.


“Sebenarnya al-Quran ini Allah turunkan untuk semua umat manusia tidak kira lidah bahasa apa yang dicakapkan. Al-Quran ini boleh dibaca jadi sebagai manusia, kita mempelajarinya.


“Maka tidak hairanlah kita boleh membaca al-Quran dengan baik seperti lidah sebutan Arab. Orang Arab pun jika mereka tidak mempelajari al-Quran dengan betul, mereka tidak boleh juga kerana al-Quran ini berlainan dengan bahasa pertuturan digunakan mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Beliau yang juga hakim di peringkat negeri dan kebangsaan sejak 1984 sehingga kini berkata, tidak kira siapa pun keturunannya meski pun tidak berbahasa Arab, sekiranya seseorang itu mempelajari al-Quran termasuk hukum tajwid dengan betul daripada guru pembimbing, dia juga boleh membaca al-Quran dengan fasih dan lancar.


Pada masa sama, Syaikh Ismail berkata, menerusi majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa berlangsung di negara ini, sudah banyak kali qari dan qariah di Malaysia diumumkan sebagai johan pertandingan berkenaan.


“Ketika hakim menilai bacaan qari dan qariah yang bertanding, mereka tidak melihat dan tidak tahu pun peserta terbabit datang dari negara mana sama ada dari Malaysia atau negara Asia lain atau orang Arab.


“Selain itu, majlis tilawah ini juga disertai peserta dari negara Arab malah, hakim yang menilai juga ramai dalam kalangan orang Arab,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan peserta Malaysia bukan saja untuk majlis tilawah al-Quran dianjurkan di negara ini malah, ada peserta turut dihantar ke luar.


“Peserta Malaysia yang menyertai penganjuran majlis tilawah al-Quran termasuk diadakan di negara Arab juga pernah diumumkan sebagai johan pertandingan,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, antara yang dinilai semasa qari dan qariah membaca ayat suci al-Quran bertaranum ialah dari segi tajwid, taranum, fasohah dan markah bagi suara.


“Dalam al-Quran ini ada sebutan, ada gaya Arab dan ada juga ayat yang berbentuk soal serta jawab. Misalnya, jika ayat al-Quran itu berbentuk marah, jadi perlu sesuaikan dengan bacaannya dan dari situ, fasohah diambil kira.


“Bukan itu saja, perlu juga tahu huruf asal kalimah contohnya huruf ‘sin’ tidak boleh dibaca selain itu kerana perlu dibaca dengan betul,” katanya.



Norlida Ishak Shop