Expired : 18.06.18

Tegas Tolak Kerajaan PH Jika Industri Teksi Terus Dianaktirikan

KUALA LUMPUR 25 Mei – Syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., menegaskan akan menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya nasib industri teksi negara ini terus dianaktirikan.


Memetik laporan Free Malaysia Today, Pengasas dan Penasihat syarikat berkenaan, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihaknya akan berbuat demikian sepertimana pernah dilakukan terhadap Barisan Nasional (BN).


Beliau malah berkata, lebih 80,000 pemandu teksi di seluruh negara juga akan menolak kerajaan PH.


“Kami bukan ugut tetapi apakah pilihan yang kami ada? Berbincang cara baik sudah, bersabar sudah namun sampai hari ini tidak ada apa-apa,” lapor portal itu, hari ini.


Jelas Shamsubahrin, meskipun sudah setahun kerajaan PH memerintah, kebanyakan pemandu teksi kecewa kerana kebajikan mereka dalam industri tersebut masih belum terbela.


Kata beliau, ramai pemandu teksi mengeluh kerana tidak lagi menerima bantuan daripada kerajaan.


“Saya tidak berminat nak buat perbandingan sangat sebab kita faham kerajaan dalam masalah tetapi nampak ketara sangat. Zaman BN kita tahu ada rasuah, tetapi mereka bantu juga pemandu teksi. Salah mereka sebab tidak batal Uber dan Grab itu sahaja.


“Zaman BN paling tidak kita dapat sikit, kalau tidak duit tunai, kita dapat baucer minyak, baucer tayar, tapi zaman PH ni langsung tidak dapat apa-apa.


“Jangan cakap nak dapat duit, ajak buka puasa pun tidak dapat. Sekarang nak jemput menteri susah. Bukan kita suruh kerajaan keluar duit, kita yang akan keluar duit,” jelas laporan itu.


Dalam pada itu, Shamsubahrin berkata, kerajaan PH bukan hanya gagal menunaikan janji untuk memulihkan industri teksi malah mengenakan syarat sama rata kepada pemandu e-hailing.


“Saya jumpa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Disember tahun lalu, beliau janji tidak akan menghampakan dan menghancurkan industri teksi. Beliau berjanji akan buat keputusan sama rata. Aku janji itu yang saya maklumkan kepada seluruh pemandu supaya berhenti melakukan demonstrasi bantah kerajaan pada waktu itu.


“Tetapi baru-baru ini menteri buat pusingan-U dengan menyatakan bahawa pemandu e-hailing tidak perlu tukar status kenderaan persendirian. Ini jelas menunjukkan menteri tiada prinsip dan kita tidak tahu apa hala tuju Kementerian Pengangkutan berhubung industri teksi,” jelas laporan itu. – UTUSAN ONLINE


Norlida Ishak Shop