Expired : 18.06.18

Tehran pula ugut isytihar tentera Amerika sebagai pengganas


TEHRAN, 1 Syaaban 1440H, Ahad – Selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mungkin mengisytiharkan pasukan elit Pengawal Revolusi Iran (IRGC) sebagai ‘pertubuhan pengganas’, negara Syiah itu hari ini, turut mengugut untuk mengambil tindakan sama terhadap tentera AS.


Terdahulu, Wall Street Journal (WSJ), yang memetik sumber-sumber berkata, AS dijangka mengisytiharkan IRGC sebagai ‘pertubuhan pengganas’ dalam masa terdekat – langkah kali pertama Washington secara rasmi melabelkan pasukan tentera negara asing sebagai ‘kumpulan pengganas’.


Keputusan itu, yang mana pengkritik memberi amaran akan mendedahkan tentera AS dan pegawai perisikan dengan tindakan sama akan diambil oleh kerajaan negara yang tidak mesra dengan AS, dijangka diumumkan Jabatan Negara, esok.


Menulis di laman Twitternya hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Iran (Keselamatan Dalam Negeri dan Dasar Luar Negara), Heshmatollah Falahatpisheh berkata, Tehran akan memasukkan askar AS ke dalam senarai pengganas bersama Daesh, jika AS bertindak demikian.


“Kami akan menjawab apa sahaja tindakan diambil terhadap pasukan elit ini dengan langkah balas.


“Jadi, pemimpin Amerika, yang mana mereka ini adalah pencipta dan penyokong pengganas di Timur Tengah, akan menyesali tindakan yang tidak sesuai dan pengecut ini,” kata kenyataan dikeluarkan 255 ahli Parlimen Iran.


Komander IRGC, Mohammad Ali Jafari pada 2017 lalu memberi amaran sekiranya Presiden AS, Donald Trump mengambil langkah itu, maka IRGC juga akan menganggap askar Amerika sama seperti kumpulan bersenjata IS di seluruh dunia.


Ditubuhkan pada 1979 susulan Revolusi Iran bagi melindungi sistem ulama Syiah, IRGC adalah pasukan keselamatan paling kuat di Iran, mengawal sektor ekonomi, dan terbabit sepenuhnya dalam sistem politik negara itu..


IRGC juga mengendalikan peluru berpandu balistik, serta program nuklear Iran. Tehran sebelum ini memberi amaran memiliki peluru berpandu yang jaraknya boleh mencecah 2,000 kilometer, meletakkan pangkalan tentera AS dan Israel di Timur Tengah dalam ancaman mereka.


Pasukan itu dianggarkan mempunyai kekuatan 125,000 anggota tentera darat, laut serta udara, dan menjawab terus kepada pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – Agensi


The post Tehran pula ugut isytihar tentera Amerika sebagai pengganas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop