Expired : 18.06.18

Tekanan air rendah di lima daerah pada Aidilfitri: SATU



KUALA TERENGGANU, 29 Ramadan 1440H, Isnin – Sebanyak 7,225 pengguna di lima daerah di negeri ini dijangka mengalami gangguan tekanan air rendah berikutan peningkatan hampir 30 peratus penggunaan air pada perayaan Aidilfitri ini.


Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan daerah yang terbabit adalah Kuala Terengganu melibatkan 2,923 pengguna; Marang (2,132 pengguna); Besut (1,500), Hulu Terengganu (470) dan Setiu 200 pengguna.


“Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini sudah pasti mengundang kepulangan perantau ke Terengganu dan ini ditambah dengan cuti persekolahan yang panjang menyebabkan berlakunya peningkatan penggunaan air hampir 30 peratus berbanding penggunaan pada hari biasa.


“Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya gangguan tekanan air yang rendah terutama di waktu puncak kepada pengguna bagi sesetengah kawasan,” menurut kenyataan itu.


Kawasan dijangka terjejas di Kuala Terengganu ialah Kampung Kesom, Kampung Bukit Petiti, Kampung Banggol Peradong, Kampung Telari, Kampung Padang Machang, Kampung Kubang Bujuk, Kampung Padang Ujik, Kampung Kubang Lembek, Kampung Guntong, Kampung Pengkalan Binjal dan Kampung Surau Haji Yaakob.


Di Marang pula membabitkan Kampung Padang Pauh, Kampung Gong Kasim, Kampung Durian Pahit, Kampung Pasir Putih, Kampung Alur Pak Bang, Taman Mas Murni, Kampung Bukit Mawi Kijing, Kampung Bukit Kemas Kelulut, Taman Rashidah, Taman Bukit Indah, Kampung Bukit Jetit, Pengkalan Berangan.


Selain itu, Kampung Kubu, Kampung Tok Muchong, Kampung Pasir Tinggi, Kampung Tiruk, Tanah Lot SPKA, Kampung Banggol Pak Ali, Kampung Tasek, Kampung Wakaf Pak Ya Paya Resak, Kampung Machang Lada, Kampung Bukit Cerana Wakaf Dua, Kampung Bukit Parit dan Jerung Seberang.


Pengguna yang terjejas di Besut pula melibatkan Kampung Seberang Jerteh, Kampung Padang Luas, Taman Pelagat Utama, Kampung Paroh, Kampung Padang Tapong, Kampung Padang Landak, Kampung Laklok, Taman Saujana, Taman Desa Saujana, Taman Mawar Baiduri, Kampung Kubang Siam, Taman Falahiah dan Taman Bakti


Kawasan yang dijangka mengalami gangguan tekanan air rendah di Hulu Terengganu pula ialah Kampung Kuala Telemong, Kampung Chepoh, Kampung Pantai Ali dan Kampung Tanjung Aur manakala di Setiu membabitkan Kampung Bintang dan Kampung Bukit Grebar.


Menurut kenyataan itu, SATU telah mengambil beberapa langkah penambahbaikan dan persediaan awal untuk menangani dan meminimakan gangguan bekalan air termasuk menyediakan tangki statik di kawasan terlibat dan lori-lori tangki sentiasa bersedia untuk menghantar bekalan air sekiranya perlu.


SATU juga telah menjalankan aktiviti menakung tangki-tangki simpanan bagi meningkatkan paras tangki pada waktu malam untuk kegunaan keesokan harinya di kawasan yang menghadapi masalah.


Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemah dan menyimpan air untuk kegunaan harian secukupnya. Pengguna juga perlu melaporkan segera kepada SATU sekiranya sebarang kebocoran air dijumpai, di careline SATU 1-300-882-111. – Bernama



The post Tekanan air rendah di lima daerah pada Aidilfitri: SATU appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop