Expired : 18.06.18

Teknologi Terbaik Dan Terburuk Di MWC 2019

Acara Mobile World Congress atau dikenali sebagai MWC boleh dikatakan antara acara yang ditunggu-tunggu setiap tahun bagi penggemar teknologi. Ia berlangsung di Barcelona, Sepanyol dengan menempatkan pelbagai jenama dan pengeluar untuk memperlihatkan sejumlah produk dan teknologi baru. Ia turut dijadikan sebagai medan untuk menjalinkan perdadangan dan kerjasama baru, selain membantu untuk pertumbuhan idea baru mengenai teknologi mudah-alih.


Acara MWC 2019 telah disajikan dengan produk berasaskan rangkaian 5G setelah ia diperlihatkan sejak dua tahun lalu. Pada tahun ini, kita telah berjaya melihat peranti komsersial dengan keupayaan 5G menjadi realiti dan sedia boleh digunakan oleh pengguna. Tetapi apa yang menarik, kita juga telah disajikan dengan peranti boleh-lipat yang kini tidak lagi fiksyen di dalam imaginasi sahaja.


Kami telah memilih beberapa peranti menarik sepanjang acara iin dan berikut adalah senarai peranti terbaik dan terburuk yang telah diperlihatkan pada MWC 2019.




Terbaik


Inovasi Terbaik: Huawei Mate X



Huawei Mate X dinobatkan sebagai inovasi terbaik sepanjang MWC 2019 kerana ia membawa sebuah peranti boleh-lipat yang menawan dan sedia digunakan oleh pengguna. Ia mengubah persepsi kami mengenai telefon lipat, selepas berasa kurang yakin dengan rekaan yang diperlihatkan oleh Royole Flexpai. Rekaan Huawei Mate X ini dilihat lebih meyakinkan, tidak terlalu tebal, dan mempunyai 3 bahagian skrin yang boleh digunakan.


Ia juga mempunyai spesfikasi yang berkuasa sehingga Huawei menggelarnya sebagai “Telefon 5G Terpantas”. Ia membawakan cip Kirin 980, memori 8GB RAM, dan hadir dengan storan 512GB. Sistem pengimejannya juga dibangunkan melalui kerjasama Leica, dengan menawarkan 3 sensor berbeza seperti Huawei Mate 20 Pro. Kapasitinya hadir dengan 4500 mAh melalui rekaan dua sel bateri di dalam peranti.


Cuma anda jangan teruja terlebih dahulu kerana harga jualannya ialah 2299 Euro. Apabila ditukar kepada matawang di Malaysia, harganya telah mencecah RM10,522 iaitu 4 kali harga jualan Samsung Galaxy S10e.


Telefon Terbaik: Siri Samsung Galaxy S10



Walaupun telah dilancarkan sebelum acara MWC 2019 berlangsung, siri Samsung Galaxy S10 masih mendapat sambutan yang hangat daripada pengunjung. Rekaan dan pembaharuan yang hadir pada siri Galaxy S10 adalah suatu yang berbaloi untuk dilihat, sekalgus menarik perhatian ramai untuk mencubanya.


Siri Samsung Galaxy S10 telah membawakan cip Exynos 8920 dengan rekaan cip 8nm, skrin Adaptive AMOLED, dan mempunyai keupayaan kamera f/1.5-2.4 dengan aperture yang boleh diubah. Ia juga dilengkapi dengan slot kad mikroSD, ketahanan air IP68, dan sokongan pengecasan nirwayar berbalik.


Siri peranti ini sebenarnya sudah sedia ditawarkan di Malaysia, melalui harga jualan RM2699 (Samsung Galaxy S10e), RM3299 (Samsung Galaxy S10), dan RM3699 (Samsung Galaxy S10+).


Telefon Fotografi Terbaik: Nokia 9 PureView



Nokia 9 PureView telah berjaya menarik perhatian ramai atas bilangan kamera yang didatangkan pada bahagian belakang peranti. Ia menempatkan sensor 12MP (2x B/W, 3x RGB) selain menyertakan sensor Time-of-Flight (ToF) untuk bacaan data 3-dimensi. Dengan sistem kamera ini, ia membolehkan kamera mengenalpasti 12.9 stops of dynamic range dan 1200 data kedalaman gambar.


Spesifikasinya masih menyerupai telefon mercu daripada tahun 2018, seperti kehadiran cip Snapdragon 845 dan memori 6GB RAM. Ia juga dilengkapi dengan skrin sebesar 5.99-inci QHD+ berasaskan P-OLED, fungsi pengimbas cap jari di bawah skrin, IP67, dan menyokong pengecasan tanpa wayar.


Cuma kapasitinya agak sedikit merisaukan kerana ia hanya membawa kapasiti 3340 mAh. Kapasiti ini dilihat agak kecil untuk peranti dengan skrin QHD+ apatah lagi ia direka dengan fokus kepada fungsi fotografi. Ia juga tidak dilengkapi dengan slot mikroSD, yang mana mungkin menyukarkan pengguna menyimpan fail dan rakaman RAW dalam storan sebesar 128GB.


Peranti ini masih belum ditawarkan di Malaysia namun harganya telah diumumkan pada harga $699 atau sekitar RM2863. Sekiranya anda penggemar fotografi, Nokia 9 PureView ini mungkin antara peranti yang perlu dimasukkan dalam senarai pembelian peranti anda.


Teknologi Fotografi Terbaik: Teknologi Zoom 10x Daripada OPPO



OPPO dilihat agak aktif dalam menghasilkan inovasi baru untuk digunapakai pada peranti keluaran mereka. Sebelum ini, OPPO telah memperlihatkan teknologi pengimejan yang baru pada MWC 2018, dengan memperlihatkan kebolehan zoom sebanyak 5 kali. Teknologi tersebut nampaknya telah ditambahbaik pada acara MWC 2019, yang kini membolehkannya mengambil gambar zoom sebanyak 10 kali.


Teknologi ini dijayakan dengan sistem tri-kamera yang terletak di bahagian belakang peranti. Ia dijayakan dengan sistem periskop yang membolehkan rekaan kamera dihasilkan dalam bentuk yang lebih kecil. Setelah melihat daripada unit percubaan di MWC 2019, rekaan kameranya tidak begitu terkeluar dan masih nipis seperti kebanyakan peranti mercu pada saat ini.


OPPO menjangkakan teknologi ini akan digunapakai dalam model telefon akan datang, namun tidak diumumkan dari segi model yang bakal menggunakannya. Namun kami menjangkakan ia bakal hadir pada OPPO Find X generasi kedua yang mungkin akan dilancarkan seawal Jun tahun in.


Telefon 5G Terbaik: Xiaomi Mi MIX 3 5G



Xiaomi telah melancarkan Xiaomi Mi MIX 3 pada tahun lalu dengan membawakan rekaan yang skrin penuh serba baru. Ia dibina dengan rekaan peranti yang boleh diluncurkan seperti mana yang dilihat pada Honor Magic 2. Dengan penggunaan rekaan baru ini, bahagian bawah skrin dapat dikecilkan sekaligus meningkatkan keluasan nisbah binaan-ke-skrin.


Sewaktu dilancarkan, Xiaomi Mi MIX 3 hadir dengan spesifikasi berkuasa untuk 2018 seperti kehadiran skrin 6.39-inci berasaskan AMOLED, cip pemprosesan Snapdragon 845, memori 6GB RAM, dan storan permulaan 128GB. Keupayaan kameranya masih hadir dengan sensor 12MP + 12MP, namun kamera hadapanya telah dinaiktaraf kepada sistem dwi-kamera 24MP + 2MP. Cuma kapasiti baterinya telah dikurangkan yang mana kini hanya membawakan kapasiti 3200 mAh.


Xiaomi Mi MIX 3 5G masih membawakan penawaran yang serupa seperti Mi MIX 3 versi biasa, namun ia mempunyai perbezaan dari segi spesifikasi yang ditawarkan. Ia kini membawakan cip pemprosesan Snapdragon 855 bersama keupayaan modem Snapdragon X50 untuk kebolehan 5G. Tetapi perkara yang menarik sekali adalah kapasiti baterinya yang telah ditingkatkan kepada 3800 mAh.


Telefon Boleh-Lipat Terbaik: Samsung Galaxy Fold



Seminggu sebelum MWC 2019, Samsung telah memperlihatkan telefon boleh-lipat pertama mereka ketika pelancaran siri Samsung Galaxy S10 di San Francisco. Ia dikenali sebagai Galaxy Fold dengan rekaan peranti boleh-lipat yang menawan dan sedia digunakan oleh pengguna. Peranti ini mula menerima pencabarnya yang hebat apabila Huawei melancarkan Mate X ketika acara MWC 2019.


Samsung Galaxy Fold dinobatkan sebagai telefon boleh-lipat terbaik kerana ia membawa rekaan yang lebih pratikal untuk kegunaan jangka masa lama. Walaupun rekaannya tidak semenarik Huawei Mate X, peranti ini sebenarnya dapat melindungi skrin dengan lebih baik kerana paparan boleh-lipatnya ditempatkan pada bahagian dalam. Rekaan Huawei Mate X walaupun dilihat lebih menawan, ia lebih tertedah kepada kesan calar kerana luarannya dibina berasaskan bahagian skrin.


Samsung Galaxy Fold telah hadir dengan spesifikasi berkuasa bagi tahun tahun 2019 seperti kehadiran cip Snapdragon 855, memori 12GB RAM, dan mempunyai storan dalaman sebesar 512GB berasaskan UFS 3.0. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan tri-kamera utama, sokongan dwi-kamera untuk swafoto, dan menyertakan kapasiti bateri 4380 mAh,


Telefon Multimedia Terbaik: Xperia 1



Sony dilihat masih konsisten dalam melancarkan peranti baru mereka pada acara MWC setiap tahun. Fungsi yang difokuskan pada peranti keluaran mereka juga masih sama iaitu membawa keupayaan multimedia yang hebat. Pada MWC 2019, Sony telah melancarkan Xperia 1 yang kini dilengkapi dengan nisbah skrin 21:9.


Dengan rekaan skrin 21:9 ini, ia membolehkan pengguna menikmati kandungan multimedia yang seperti yang ditawarkan pada panggung wayang. Kandungan seperti filem sering dirakam dalam nisbah 21:9, sekaligus memberi paparan filem secara penuh tanpa sebarang penampakan bar berwarna hitam. Kandungan seperti video di Youtube juga telah banyak dirakam dengan nisbah lebar ini, apabila ia mula menjadi trend sejak akhir-akhir ini.


Dengan fokus kepada kegunaan multimedia, paparan Xperia 1 telah hadir dalam saiz 6.5-inci berasaskan OLED, dengan penawaran resolusi 1644×3840. Ia juga dibina dengan spesifikasi yang cukup berkuasa seperti kehadiran cip Snapdragon 855, memori 6GB RAM, dan pilihan storan 64GB dan 128GB. Keupayaan kameranya hadir sistem tri-kamera, namun baterinya dilihat hanya membawa kapasiti 3330 mAh.


Teknologi Holografik Terbaik: Microsoft HoloLens 2



HoloLens 2 merupakan sebuah alat realiti gabungan untuk menjalankan pengkomputeran berasaskan holografik. Ia merupakan peranti penambahbaikan kepada HoleLens generasi pertama, dengan rekaan yang lebih selesa, paparan yang lebih baik, dan dijana dengan cip yang lebih pantas.


HoloLens 2 disasarkan untuk melancarkan lagi dalam melaksanakan tugasan ketika berkerja. Rekaannya kini lebih kompak selain mudah ditanggalkan dalam kesibukan berkerja. Ia juga kini menyertakan paparan beresolusi 2K, sokongan anti-aliasing, dan field of view yang lebih luas untuk membolehkan lebih banyak perkara dilihat pada peranti ini.


Ia juga telah menyertakan kamera Time-of-Flight (ToF), bagi membolehkan pergerakan tangan dapat dikesan tanpa menggunakan alatan yang khusus. Ia juga telah dilengkapi dengan kamera 8MP dan kemampuan untuk mengesan pergerakan Six Degrees-of-Freedom.


Peranti ini telah menjalankan sistem operasi Windows 10 Holographic bersama janaan cip pemprosesan Snapdragon 850. Apa yang menarik, ia boleh berfungsi secara tanpa wayar dengan menyambungkannya ke komputer utama melalui sambungan WiFi.


Dengan HoloLens 2 ini, pengkomputeran holografik kini bukan lagi gimik, tetapi telah menjadi teknologi yang sedia digunapakai untuk membantu industri perkerjaan.


Komputer Riba Terbaik: Huawei Matebook X Pro



Bersama-sama dengan pelancaran Huawei Mate X, Huawei turut memperkenalkan Huawei Matebook X Pro yang hadir dengan spesifikasi lebih berkuasa. Ia masih mengekalkan rekaan ringan dan nipis, selain mengekalkan paparan dengan bingkai nipis. Dengan melihat kepada rekaan ini, ia telah menjadi pencabar terdekat kepada Macbook Pro tetapi dijana dengan sistem operasi berasaskan Windows.


Huawei MateBook X Pro membawakan keupayaan skrin sentuh yang cukup menawan, melalui paparan sebesar 13.9-inci pada resolusi 3000×2000 pixel. Ia juga ditawarkan dengan pilihan cip sehingga Intel Core i7-8565U, memori sehingga 16GB RAM, dan mempunyai sokongan grafik yang lebih baik melalui penggunaan NVIDIA GeForce MX250. Keupayaan baterinya juga dilihat lama, dengan penawaran sehingga 14 jam apabila anda menggunakannya untuk tugasan pejabat.




Terburuk


Royole Flexpai



Royole Flexpai boleh dikatakan antara peranti boleh-lipat terawal yang hadir dengan sebuah produk yang boleh digunakan. Peranti ini telah diperlihatkan sejak acara CES 2019, namun ia masih menerima sambutan yang hangat ketika acara MWC ini berlangsung. Apa yang menarik, peranti ini sudah sedia dibeli oleh pengguna sekaligus menjadi peranti boleh-lipat pertama yang berjaya dikomersialkan.


Namun begitu, ia dinobatkan sebagai antara peranti terburuk di acara MWC ini kerana rekaannya yang kurang praktikal. Apa ia dilipat, ia meningkalkan ruang yang besar antara lipatan, membuatkannya kelihatan sebuah peranti yang belum siap sepenuhnya. Semasa diperlihatkan di acara MWC, perisiannya juga dilihat tidak dioptimasikan dengan baik, dengan penampakan kesan glitch pada sistem peranti ini.


Nubia Alpha



Selain peranti boleh-lipat, peranti melengkung juga masih digunakan dalam penghasilan peranti baru. Itu apa yang berlaku pada Nubia Alpha yang merupakan sebuah telefon dalam bentuk jam tangan pintar. Walaupun jam tangan pintar sedia mempunyai sokongan menjawab panggilan, peranti ini dilihat ingin berdiri secara sendiri sebagai sebuah alat telekomunikasi.


Ia terburuk kerana ia mempunyai rekaan skrin yang cukup besar pada pergelangan tangan. Ia mempunyai saiz skrin sebesar 4-inci berasaskan OLED, dengan resolusi 960×192. Di dalamnya juga sebenarnya masih dijana dengan cip pemprosesan jam tangan pintar, menerusi Snapdragon Wear 2100 dan memori 1GB RAM.




Jadi itulah antara peranti terbaik dan terburuk yang diperlihatkan pada acara MWC 2019. Tahun ini secara kasarnya pengeluar giat menghasilkan peranti 5G dan peranti boleh-lipat, sebagai persediaan untuk menawarkan peranti yang lebih moden pada akan datang. Bagi anda mengikuti perkembangan MWC 2019, apakah peranti terbaik atau terburuk yang anda lihat pada acara ini?


Norlida Ishak Shop