Expired : 18.06.18

Tekong emas kembali

DRAMA pertelingkahan antara Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan dua bekas tekong emas negara, Syahir Rosdi serta Zulkifli Abdul Razak berakhir selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat demi kebaikan bersama.


Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, PSM yang sebelum ini tidak mengikut garis panduan berhubung agihan elaun yang dikatakan tidak adil akhirnya bersetuju untuk mengikut prosedur yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).


“Saya difahamkan PSM akur dengan keputusan bayaran elaun yang ditetapkan MSN kerana sebelum ini kami dapat laporan PSM melakukan perubahan sendiri dari segi pemberian elaun.


“PSM kini akur dengan ketetapan dan pendirian MSN,” katanya ketika ditemui pada Program Impian ASEAN (ADP) 2019 di sini, kelmarin.


Jelas Syed Saddiq, dua bekas pemain itu kemungkinan besar akan kembali semula memperkuatkan regu sepak takraw negara terutama bagi menghadapi temasya Sukan SEA Filipina November depan.


Malah, beliau turut memberi jaminan dua tekong negara itu akan diberi peluang untuk membela diri dengan seadilnya atas tuduhan yang dikenakan oleh PSM berkaitan masalah disiplin.


“Dari segi status pemain pula, dua atlet itu akan dipanggil memberi penjelasan pada mesyuarat jawatankuasa disiplin.


“Sebagai Menteri saya tidak boleh paksa mereka tapi menasihati, selepas pertemuan besar kemungkinan mereka akan kembali dalam skuad kebangsaan selepas Aidiladha nanti,” tegasnya.


Syahir dan Zulkifli sebelum ini digugurkan daripada skuad sepak takraw kebangsaan serta digantung sementara daripada terbabit dalam sebarang aktiviti sukan itu.


Tindakan drastik PSM dilihat memberikan impak besar kepada persiapan skuad negara terutama menjelang temasya Sukan SEA Filipina yang semakin hampir.


Kedua-duanya sudah membuktikan kemampuan menyumbang bakti kepada negara apabila meraih emas di Sukan SEA 2015 dan 2017 dalam acara regu.


Gandingan mereka bersama Farhan Adam dan Azlan Alias turut memastikan emas Malaysia di Sukan Asia 2018 sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun negara pada temasya itu.


Norlida Ishak Shop