Expired : 18.06.18

Tempoh siasatan tanah runtuh Bukit Kukus ditetap minggu depan


GEORGETOWN, 19 Safar 1440H, Ahad – Tempoh dan tarikh bagi menjalankan siasatan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa 10 pekerja asing di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong akan ditetapkan pada minggu hadapan.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya percaya pengerusi jawatankuasa khas untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu iaitu Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman akan menyempurnakan tugas (siasatan) tersebut dalam masa terdekat.


“Kita tahu semua orang sangat berminat dan mahu tahu apakah punca dan sebab sebenar berlakunya tanah runtuh di Bukit Kukus.


“Saya percaya dan berharap juga minggu akan datang pengerusinya dapat tetapkan tempoh yang diperlukan dan tetapkan tarikh bermesyuarat supaya tugas ini dapat disempurnakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ceramah Motivasi Pecutan Terakhir SPM 2018 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bahagian Tanjong di sini hari ini.


Rabu lepas, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan menubuh sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu yang turut dianggotai Exco Kerja Raya Zairil Khir Johari, seorang jurutera daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan wakil Institut Kejuruteraan Malaysia negeri.


Kejadian tanah runtuh yang dilapor berlaku di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus pada 19 Oktober lepas itu mengakibatkan 10 pekerja asing maut manakala empat cedera.


Insiden tanah runtuh di Paya Terubong itu adalah kejadian kedua seumpamanya berlaku di negeri ini selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun lepas yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan.


Mengulas berhubung hasil dapatan siasatan mengenai tragedi di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah itu, Chow berkata, sehingga kini semua sesi pendengaran daripada saksi-saksi dan pihak-pihak yang memberi keterangan telah dilakukan.


“Cuma jawatankuasa penubuhan siasatan berkenaan kini dalam proses merangka laporan itu dan masanya telah dilanjutkan sehingga April 2019. Kita berharap ini adalah lanjutan yang terakhir kerana ia sudah mengambil masa yang panjang untuk menyiapkannya,” katanya. – Bernama


The post Tempoh siasatan tanah runtuh Bukit Kukus ditetap minggu depan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop