Expired : 18.06.18

Terbaiklah Joe Flizzow...

PENYANYI Joe Flizzow mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi sulung dari Malaysia memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 yang berlangsung Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol, hari ini.


Joe, 39, berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram dan mendedikasikan anugerah berkenaan kepada industri hiburan Malaysia serta pengikut setia hip-hop sekitar Asia Tenggara.



“Hari ini dalam sejarah. Untukmu, Malaysia! Terima kasih semua. Terima kasih MTV untuk anugerah ini.


“Saya ingin dedikasikan kemenangan ini buat semua peminat dan kawan-kawan di Malaysia. Terima kasih keluarga, label saya Sony Kartel, pengurusan dan semua yang percaya serta mengundi saya.


“Ini membuktikan walaupun industri hip hop di Malaysia kecil, namun disebabkan kita bersatu-padu, sangat berbaloi untuk pencapaian ini. Tidak ketinggalan buat semua pengamal hip hop sekitar Asia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, hip hop Asia masih berbisa,” katanya.


Dalam kategori berkenaan, Joe menewaskan Afgan dari Indonesia, IV of Spades (Filipina), Min Hang (Vietnam), Slot Machine (Thailand), The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand).


Terdahulu, Joe berkata, dia menaruh harapan tinggi untuk menjadi artis pertama dari Malaysia memenangi trofi berkenaan dan berharap dapat mengharumkan nama negara.


“Pencalonan itu sangat besar maknanya dalam kerjaya saya dan perjuangan muzik hip hop di Malaysia. Pencapaian itu juga membuktikan bahawa muzik hip hop kita (Malaysia) akhirnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.


“Harapan saya memang tinggi untuk membawa balik trofi itu. Kemenangan itu nanti bukan untuk saya saja, tetapi saya mahu hadiahkannya kepada industri muzik tempatan.


“Memandangkan belum ada artis Malaysia pernah memenangi trofi berkenaan, saya berharap akan menjadi yang pertama,” katanya.


Norlida Ishak Shop