Expired : 18.06.18

Tercicir telefon di lokasi kejadian, suspek samun ditahan polis

GARA-GARA tercicir telefon bimbit di tempat kejadian, seorang suspek yang dipercayai terlibat menyamun seorang penghantar makanan di hadapan bangunan Phileo Damansara 2, Kuala Lumpur kelmarin akhirnya ditahan polis.


Suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota DARI Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling jaya pada pukul 4.45 pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek ialah pemilik telefon yang tercicir ketika kejadian samun berlaku dan ditahan di Blok B, Laman Damai Apartment, Jalan Kuang Bertam 9, Taman Kepong.


“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dengan kes cubaan samun tersebut bersama seorang lagi suspek yang dikenalinya di dalam penjara Kajang pada tahun 2010,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Mohd. Zani memberitahu, pihaknya kini sedang mengenal pasti suspek kedua yang terlibat dalam kes tersebut.


Jelasnya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas serangkai kunci motosikal jenis Yamaha 125, motosikal jenis Yamaha 125, topi keledar dan sebatang ‘fork lock’.


“Suspek kini direman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelasnya.


Pada 9 Ogos lalu, seorang penghantar makanan berdepan detik cemas apabila motosikalnya hampir dilarikan dua lelaki dan turut dipukul dalam kejadian di hadapan bangunan Phileo Damansara 2, dekat sini.


Difahamkan, kejadian berlaku pada pukul 2.53 petang ketika mangsa berusia 22 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15 mahu menghantar makanan di bangunan tersebut.


The post Tercicir telefon di lokasi kejadian, suspek samun ditahan polis appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop