Expired : 18.06.18

Terengganu umum peruntukan tambahan tangani kesan COVID-19

BANGI, 30 Rejab 1441H, Rabu – Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan peruntukan tambahan bantuan barangan keperluan harian berjumlah RM960,000 di bawah Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Tiga bagi menangani kesan wabak COVID-19 kepada golongan terjejas.


Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pakej itu adalah tambahan kepada Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Satu yang membabitkan peruntukan sejumlah RM640,000 serta Fasa Dua membabitkan beberapa program penangguhan dan pengecualian bayaran.


Beliau berkata, peruntukan tambahan itu membabitkan RM30,000 di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk 600 keluarga terjejas akan dikenal pasti oleh Pusat Khidmat Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).


“Keutamaan adalah kepada keluarga yang tiada gaji tetap serta tiada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).


“Bantuan segera ini diberikan hanya kepada rakyat yang amat memerlukan berupa pakej barangan keperluan makanan harian seperti beras, sardin dan seumpamanya bagi setiap keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga akan menyelaras pakej bantuan kepada rakyat akibat wabak COVID-19 melalui beberapa fasa yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.


“Bersama kita berdoa supaya negara segera pulih dari wabak ini seperti sedia kala,” katanya.


The post Terengganu umum peruntukan tambahan tangani kesan COVID-19 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.