Expired : 18.06.18

‘Terima kasih teruskan ECRL’


BANGI, 9 Syaaban 1440H, Isnin – Kerajaan Terengganu menzahirkan penghargaan terima kasih susulan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berita gembira itu disambut baik oleh seluruh warga Pantai Timur, khususnya, rakyat Terengganu yang meyakini bahawa projek itu bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya percaya keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyambung kembali projek ECRL itu akan turut memberi kesan positif kepada sosial penduduk setempat.

“Saya percaya jika komitmen sebegini diteruskan, rakyat terbanyak akan mendapat manfaat daripada projek pembangunan dirancang itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu katanya, dengan perkembangan ini juga, bandar-bandar utama dan sekitar akan tumbuh pesat, seterusnya, dapat meyakinkan pelabur dengan penyediaan pembangunan infrastruktur yang lengkap.

Projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion. Kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Jajaran baharu akan melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan ke Pelabuhan Klang.

Ia akan melalui lima negeri dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berbanding empat sebelum ini, yang akan membolehkan lebih banyak negeri memperoleh manfaat limpahan ekonomi.


The post ‘Terima kasih teruskan ECRL’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop