Expired : 18.06.18

Terkini! Safee Sali dan Shahril Shaari Bakal Sertai Kelantan


Skuad Kelantan dijangka tampil lebih mantap untuk mengharungi baki saingan Liga Premier 2019 apabila mengesahkan sedang berusaha membawa masuk bekas penyerang kebangsaan Safee Sali dan juga penjaga gol Shahril Shaari.


Safee Sali baru menyertai Perlis musim ini dalam perpindahan yang mencuri tumpuan peminat bolasepak tempatan tetapi kemelut kewangan dan tunggakan gaji, serta janji yang tidak ditepati oleh pengurusan pasukan itu membuatkan bekas penyerang Pelita Jaya itu berkira-kira menyertai pasukan lain sebelum pintu perpindahan ditutup, dan begitu juga ceritanya dengan Shahril Shaari.


Malah, terbaru pemain tengah Fakhrullah Rosli sudahpun membuat keputusan meninggalkan pasukan walaupun dia diturunkan dalam kesebelasan utama menentang UKM FC Ahad lalu,  mengikut jejak Zafuan Azeman dan Faris Ramli.


Sumber dalaman KRW Sdn Bhd, entiti yang diberikan hak untuk menguruskan perjalanan pasukan Kelantan berkata perjumpaan telah diadakan dengan dua pemain itu yang bermain dengan PKNS FC musim lalu dan menjangkakan satu keputusan positif dapat dicapai dalam tempoh terdekat.


“CEO (Fazli Mohammad) telah berjumpa dengan dua pemain ini dan memang kita berminat membawa masuk mereka untuk memperkuatkan pasukan.


“Safee walaupun sudah 36 tahun dia adalah seorang pemain yang masih berada pada tahap prestasi terbaik, masih lagi seorang penyerang berbahaya dan seorang pemain yang ada tarikan. Dia juga boleh membimbing pemain kita yang rata-ratanya dibarisi skuad muda jadi saya anggap kehadirannya cukup instrumental.


“Shahril pula cukup menonjol pada tahun lalu dan antara tonggak yang membantu PKNS mencatat sejarah duduk nombor 3 Liga Super, dia juga telah dipanggil ke kem kebangsaan.


“Walaupun dekat-dekat penghujung musim dia mengalami kecederaan dan kehilangan tempat dalam kesebelasan, dia sudah pulih dan kembali kepada prestasi sebenar dan memandangkan kita tiada penjaga gol yang berpengalaman, Shahril sudah pasti akan menjadi satu rekrut yang berbaloi,” kata sumber tersebut ketika dihubungi Foxsports


Bagaimanapun menurutnya, perjumpaan yang diadakan bersama Safee Sali dan Shahril Shaari itu sekadar untuk ‘berkenalan’ dan memahami situasi mereka terlebih dahulu memandangkan merela masih berkontrak dengan Perlis justeru tidak mahu Kelantan nanti dicop sebagai mengadakan rundingan pintu belakang.


“Kita jumpa dulu, ketahui dulu sejauh mana terma di dalam kontrak mereka. Dimaklumkan jika dua bulan berturut-turut mereka tidak terima gaji, kontrak akan terbatal. Kita tidak mahu masuk campur urusan Perlis, tetapi dua pemain ini bersedia untuk angkat kaki dan mereka juga secara lisannya sudah diberi kebenaran untuk batalkan kontrak jika mereka mahu. Selepas itu barulah kita akan tawarkan kontrak, dan kita harap mereka akan bersetuju.


“Mungkin ada penyokong yang fikir pemain Kelantan tak terima gaji, pergi ke Perlis pun alami benda sama. Sekarang pemain dari Perlis nak masuk pula ke Kelantan, apa jaminan ia tidak berulang. Suka saya menjelaskan kami sebuah syarikat yang diberi mandat memulihkan semula bola Kelantan, tunggakan gaji, penajaan dan segalanya adalah di bawah tanggungjawab kami.


“Setakat ini pelbagai tunggakan dari zaman Tan Sri Annuar (Musa) pegang telah dijelaskan, dan ada yang dilakukan secara berperingkat. Kebajikan pemain semasa menjadi keutamaan, dalam masa sama hutang lapuk tidak dilupakan. Kita mahu ubah sepenuhnya wajah bola Kelantan, bukan hanya menabur janji tetapi kami bekerja ke arah itu,” tambah sumber itu lagi.


Sebagai rekod, Kelantan yang kembali beraksi di Liga Premier selepas 10 musim, memulakan musim baru dengan kekalahan 0-1 di tangan Selangor United pada minggu lalu dan mereka akan berdepan Sabah dalam aksi kedua pada Jumaat ini di Kota Bharu.


Foto : Sumber KRW Sdn Bhd


Post Views: 5


Norlida Ishak Shop