Expired : 18.06.18

Terus terang saja Melayu dalam PH tolak UEC: Prof Teo Kok Seong


BANGI, 2 Jamadilawal 1440H, Selasa – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti berterus-terang – bahawa sebilangan besar orang Melayu dalam pakatan itu memang tidak mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – dan harus bertegas menyatakan perkara itu tanpa berdolak-dalih.


Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, UEC jelas berada di luar sistem pendidikan nasional, malah sejarah membuktikan UEC sejak awal-awal lagi menolak menyertai sistem pendidikan nasional


“Respon Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu UEC ini, bagi saya tak menjawab soalan pun.


“Memang sejak dahulu, orang Melayu ini ambil sikap cakap berlapik, tak mahu berterus-terang demi nak elak konfrontasi, dan dalam isu UEC. Itu mengakibatkan keadaan jadi lebih rumit.


“Berterus-terang sahaja, bahawa orang Melayu termasuk dalam Pakatan Harapan memang tidak ada hajat nak iktiraf UEC, beritahu sahaja bahawa UEC itu tak berada dalam sistem pendidikan nasional dan memang tidak boleh diiktraf.


“Bila berterus-terang dan tak berdolak-dalih, orang akan faham,” katanya kepada Ismaweb.net, mengulas isu UEC sekolah persendirian Cina.



Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak menolak UEC, tetapi sensitiviti dalam kalangan orang Melayu dalam perkara itu perlu diambil kira.


“Kita ambil kira semua sensitiviti termasuk orang Cina, orang India, Orang Asli dan juga suku-suku kaum di Malaysia.


“Kita sensitif kerana jika tidak sensitif maka kita tidak akan mendapat sokongan daripada rakyat,” kata Perdana Menteri


Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, sekitar 1960-an, kerajaan Barisan Nasional ketika itu menawarkan peluang agar sekolah persendirian Cina menyertai sistem pendidikan nasional, dan sebilangan besar menerima tawaran itu.


“Tahun 1962, cuma ada 14 buah  ekolah persendirian Cina yang menolak tawaran kerajaan. Kini, jumlah itu semakin bertambah sehingga mencecah 60 buah sekolah,” katanya.


Beliau berkata, ibu bapa kaum Cina yang menghantar anak ke sekolah persendirian memang sedar akan risiko, namun kerana sikap ingin meraih keuntungan, mereka tetap mendaftarkan anak ke sekolah persendirian.


“Mereka ini dilihat ingin meraih keuntungan sepanjang jalan. Ibu bapa kaum Cina yang hantar anak ke sekolah persendirian Cina, mereka sedar bahawa anak mereka akan berdepan beberapa kesulitan.


“Pertama, susah nak masuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA); kedua bab peluang pekerjaan juga akan jadi sukar lebih-lebih lagi dalam sektor awam. Tapi, pada masa sama, mereka tetap pilih untuk hantar anak ke sekolah jenis itu yang memang jelas tidak berada dalam sistem pendidikan nasional.


“Kemudian, apabila sampai peringkat pengajian tinggi, mereka sedar yuran universiti swasta sangat tinggi berbanding IPTA, tapi anak-anak mereka – memandangkan sijil menengahnya tidak diiktiraf – tidak dibenarkan menyambung pengajian di sana yang mana yuran jauh lebih rendah. Jelas sekali, mereka nak raih keuntungan di sepanjang jalan,” katanya.


Justeru, bagi meredakan polemik ini, Kok Seong berkata, sudah sampai masa untuk orang Melayu termasuk dalam PH berterus-terang menyatakan bahawa mereka memang tidak akan mengiktiraf UEC dan berhenti memberi alasan.


“Jika mereka kekal memberi alasan, ianya akan mencemari reputasi orang Melayu itu sendiri kononnya tidak menepati janji dan manifesto pilihan raya.


“Terus-terang sahaja bahawa orang Melayu memang tak berhasrat iktiraf UEC meskipun ada dalam janji manifesto pilihan raya mereka, bangsa Cina akan faham.


“Sebaliknya, mulakan langkah memperkasa sistem pendidikan nasional, kita kena jaga anak bangsa kita yang setia dalam sistem nasional,” katanya.


Sikap Melayu juga punca isu UEC tak selesai, kata Teo Kok Seong


Iktiraf UEC satu penderhakaan kepada rakyat: Kok Seong


The post Terus terang saja Melayu dalam PH tolak UEC: Prof Teo Kok Seong appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop