Expired : 18.06.18

‘Teslians Bersama Komuniti’ Kampung Lukut

31 mahasiswa tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (TESL) di bawah kursus Bina Insan Guru, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalankan program ‘Teslians Bersama Komuniti’ bertempat di Kampung Lukut, Kota Tinggi Johor.


Objektif program adalah untuk memupuk semangat kemasyarakatan antara mahasiswa dengan masyarakat tempatan menerusi program anak angkat dan bagi membantu meningkatkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan tersebut.


Sebagai bakal guru, program ini membuka mata dan ruang mahasiswa untuk mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang dan budaya, seterusnya menjadikan mereka lebih berani, membentuk jati diri dan berketerampilan sebagai bakal guru.


Diadakan bermula 30 November sehingga 1 Disember 2018, program ini turut disertai lima orang pelajar pertukaran antarabangsa dari negara China.


Penglibatan mereka ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan budaya dan masyarakat di Malaysia.


Antara pengisian program adalah penerangan tentang sejarah Kampung Lukut di mana majoriti masyarakat adalah melayu dan kebanyakan mereka merupakan orang asli dan juga berasal dari Negeri Sembilan, sukaneka kampung, acara malam kebudayaan, persembahan daripada mahasiswa UTM dan zapin dari anak-anak Kampung Lukut serta program anak angkat.


Seramai lapan orang wakil keluarga dari Kampung Lukut turut menyertai program ini.


Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi, Encik Abrary Ramli manakala turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Pertubuhan Ikram, En Mohd Rasyiddiq Bin Mohd Safie.


Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Shahrin Hashim berkata, program yang dijalankan itu dapat memupuk kesedaran kepada mahasiswa mendekati dan mengenali masyarakat yang berbeza latar belakang di samping memberi pendedahan bahawa tanggungjawab seorang guru bukan hanya sekadar mendidik di sekolah, tetapi juga di luar sekolah.


Turut disokong wakil Komuniti Kampung Lukut, Encik Amran Saari berkata, program-program bersama komuniti seperti ini merupakan satu pendekatan yang baik untuk masyarakat setempat membina semangat perpaduan dan berinteraksi dengan orang luar di samping mengenali sejarah dan budaya yang ada di kawasan mereka.


Pengarah program, Amirah binti Mohamad berkata banyak slot menarik yang berfokus kepada kemahiran komunikasi dan interaksi mahasiswa dan masyarakat yang dijalankan seperti slot ‘English Market’.


“Slot “English Market” memberi ruang kepada anak-anak sekolah menengah dan rendah di Kampung Lukut untuk belajar Bahasa Inggeris menerusi permainan-permainan dan aktiviti-aktiviti santai yang disediakan oleh kami.


Permainan kampung yang dijalankan oleh warga Kampung Lukut memberi pendedahan dan peluang kepada kami untuk beramah-mesra dan berinteraksi dengan mereka yang juga merupakan keluarga angkat kami.


Sebagai bakal guru, program seperti ini merupakan satu platform kepada kami untuk mengenali dan memahami kehidupan masyarakat di luar bandar dan membantu anak-anak mereka dalam mempelajari Bahasa Inggeris,” tambah beliau.


Rata-rata ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke slot “English Market” berpuas hati dan gembira dengan slot ini kerana pembelajaran yang dijalankan santai dan tidak memberi tekanan kepada anak-anak mereka.


Selain itu, program ini turut mendapat sokongan dan sumbangan daripada Pertubuhan IKRAM Negeri Johor yang telah menyediakan barang kelengkapan persekolahan bagi membantu meringankan ibu bapa.


Seramai 38 orang anak-anak sekolah warga Kampung Lukut telah terpilih menerima bantuan itu.


 



Disediakan oleh Nurul Aqilah Binti Shaharuddin, Mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (TESL), UTM


Norlida Ishak Shop