Expired : 18.06.18

Tetap syukur walaupun kaki kena bom [METROTV]

KEDUA-DUA kakinya putus dan hancur akibat terkena serangan bom di Syria pada 2013 ketika sedang berjalan pulang ke rumah.


Bermula detik itu, kehidupan yang dahulunya sempurna berubah sekelip mata, apa yang tinggal hanya secebis kekuatan untuk meneruskan hidup.


Kesempatan penulis bertemu dengan pelarian Syria, Zakaria Ismail, 35, di Kem Al-Awdah di Lembah Beqaa, semalam sungguh membuka mata.


Mana tidaknya, dengan menggunakan dua kaki palsu selain hidup serba kekurangan, Zakaria tetap mampu tersenyum menyembunyikan duka di hati.


Lebih memilukan, dia sekeluarga kini hidup dalam kegelapan apabila kediamannya terputus bekalan elektrik sejak 15 hari lalu disebabkan tidak mempunyai sumber rezeki.


Berkongsi pengalaman pahit dirinya menjadi seorang daripada mangsa serangan bom, Zakaria berkata, kejadian itu menyebabkan dia hilang kedua-dua belah kaki.


“Sukar sebenarnya untuk saya mengimbas kembali detik itu kerana ia menjadi detik hitam yang merubah seluruh kehidupan saya. Namun dalam kesedihan, saya tetap bersyukur kerana masih terselamat.


“Saya bersama isteri dan anak kemudian tekad menjadi pelarian bagi memastikan keselamatan diri lebih terjamin,” katanya.


ZAKARIA buntu memikirkan nasib dan masa depannya akibat tidak boleh bekerja. FOTO NSTP

Namun Zakaria yang kini tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) buntu memikirkan nasib dan masa depannya akibat tidak boleh bekerja.


Penulis yang bertemu Zakaria semalam mengikuti misi sukarelawan Lubnan bersama Aman Palestin bagi menyerahkan bantuan musim sejuk kepada 103 kem di Lembah Beqaa dan Aarsal.


Selain menyerahkan sumbangan, misi berkenaan turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat seperti membaiki khemah, membersihkan persekitaran kem dan membantu urusan pentadbiran.


Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.


Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.