Expired : 18.06.18

Tewaskan Sri Lanka bukan ukuran...

KEMENANGAN besar 6-0 ke atas Sri Lanka pada aksi persahabatan antarabangsa, semalam membantu meningkatkan keyakinan dan mental pemain tetapi tidak menjadi pengukur untuk bertemu Vietnam.


Tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak mengingatkan rakan sepasukannya bahawa kemampuan Vietnam yang menduduki ranking ke-99 itu jauh lebih baik berbanding Sri Lanka.


Pemain berusia 32 tahun itu bagaimanapun berjanji untuk mengawal benteng pertahanan negara sebaik mungkin bagi mengelak dibolosi ketika aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi pada Khamis ini.


“Misi kita dah set mental rakan-rakan yang kita tak mahu kalah lagi, kerana kita dah cukup dengan kekalahan sebelum ini.


Bukan senang untuk berlawan di gelanggang mereka, fokus kita adalah untuk cuba cari gol seawal mungkin.


“Sebagai pemain pertahanan, saya akan cuba bertahan dengan sebaik yang mungkin. Vietnam ada pemain yang memang bagus, jadi saya sebagai pemain pertahanan, saya fokus supaya tidak dibolosi dan tidak beri peluang kepada mereka jaringkan gol,” katanya hari ini.


Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memuji rakan sepasukannya yang telah beraksi dengan baik, dengan peningkatan di jentera serangan, berbanding ketika bertemu Vietnam pada Kejohanan Piala AFF tahun lalu.


“Kita lebih laju dan banyak simpan bola, tak tergopoh-gopoh untuk hilang bola. Itu antara peningkatan yang saya lihat,” katanya.


Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang sebelum ini bimbang dengan jentera pertahanan negara yang bolos sebanyak lima kali dalam tiga aksi sebelum bertemu Sri Lanka, yakin Aidil boleh memberi tunjuk ajar kepada pemain muda.


“Dengan adanya pemain berpengalaman seperti Aidil, beliau boleh memberi tunjuk ajar kepada pemain muda.


Fokus kita pada perlawanan malam tadi adalah menyerang pada masa yang sama bertahan dengan baik,” katanya.


Gawang negara dibolosi lima kali dalam tiga perlawanan sebelum ini iaitu apabila tewas tipis 0-1 kepada Jordan, kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dan kekalahan tipis 1-2 menentang UAE itu.


Norlida Ishak Shop