Expired : 18.06.18

TFC mara suku akhir Piala FA

JUARA 2011, Terengganu FC (TFC) melenyapkan impian pendatang baharu Liga Malaysia, Kelantan United untuk layak ke suku akhir Piala FA apabila bangkit mencipta kemenangan 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.


Kelantan United yang dikendalikan jurulatih, Zahasmi Ismail mengejutkan pasukan Liga Super itu apabila mendahului menerusi jaringan Rozaimi Azwar pada minit kesembilan.


Rozaimi bijak mengambil peluang susulan kesilapan dilakukan pertahanan TFC, Khairul Azrin Khazali apabila gagal mengawal kemas bola kaki sebelum memperdayakan penjaga gol, Suffian Abdul Rahman.


TFC, yang muncul naib juara Piala Malaysia apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Perak musim lalu, bagaimanapun menghidupkan peluang mereka apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi pemain import, Sanjar Shaakhmedov.


Empat minit kemudian, TFC melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah selepas penyerang import dari Ivory Coast, Kipre Tchectche melakukan rembatan dalam kotak penalti mengatasi penjaga gol Shahrizan Ismail.


TFC akhirnya memastikan kemaraan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pemain tengah Lee Tuck pada minit ke-73.


Norlida Ishak Shop