Expired : 18.06.18

Thailand beri lanjutan visa automatik kepada warga asing

BANGKOK, 15 Syaaban 1441H, Khamis – Thailand memberikan lanjutan visa automatik kepada pelancong yang terkandas di negara itu ekoran sekatan perjalanan dan pembatalan kapal terbang.


Pengumuman itu disiarkan menerusi Gazet Diraja pada Rabu dan berkuat kuasa serta merta.


Menurut laman webnya, Biro Imigresen berkata, pelancong yang visa mereka tamat bermula 26 Mac, akan diberikan lanjutan visa automatik sehingga 30 April.


“Tidak perlu mereka memohon lanjutan visa di Pejabat Imigresen untuk tempoh itu dan dalam kes ini mereka tidak akan didenda 500 bhat sehari,” menurut kenyataan itu.


Biro itu menyatakan, warga asing yang visa 90 hari tamat antara 26 Mac dan 30 April, dikecualikan untuk membuat laporan buat sementara waktu sehingga notis baharu dikeluarkan.


Bagi warga asing yang memegang pas sempadan, mereka dibenar terus berada di Thailand tetapi perlu meninggalkan negara itu dalam tempoh tujuh hari selepas sempadan dibuka semula.


“Semua diminta mengikut pengumuman yang dibuat imigresen dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.


Sementara itu, warga asing yang memegang visa penduduk dan kebiasaannya tinggal di Thailand tetapi kini berada di luar negara, mereka diwajibkan pulang ke negara itu dalam tempoh setahun.


“Mereka diberikan pengecualian terhadap tarikh tamat wajib untuk pulang ke Thailand. Bagaimanapun, mereka perlu pulang ke Thailand sejurus selepas keadaan pulih dalam tempoh ditetapkan Biro Imigresen,” katanya.


Thailand mengisytiharkan darurat pada 26 Mac hingga 30 April. Bagi membendung penularan COVID-19, Thailand menutup buat sementara semua sempadan dan pintu masuk ke negara itu kepada warga asing kecuali pemegang pas diplomat dan permit kerja.


Sejak itu, warga asing termasuk pelancong yang terkandas di Thailand, bersesak-sesak di pejabat imigresen seluruh negara bagi memohon lanjutan tempoh visa. – Bernama


The post Thailand beri lanjutan visa automatik kepada warga asing appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.