Expired : 18.06.18

Thiem sedia berdamai

BINTANG tenis Austria Dominic Thiem menghulurkan salam perdamaian kepada Serena Williams susulan insiden silap faham mengenai bilik media ketika Terbuka Perancis dengan menawarkan diri bergandingan dengan pemain AS itu dalam acara beregu campuran sama ada di Wimbledon atau Terbuka AS.


Thiem yang muncul naib juara di Roland Garros naik angin ketika diminta memberi laluan kepada Serena dalam sidang media selepas perlawanan selepas tewas pusingan ketiga pada minggu pertama kejohanan itu.


Serena yang tewas straight set kepada Sofia Kenin mendesak penganjur memberikan bilik itu untuknya dan Thiem mendakwa pemain AS itu mempamerkan ‘personaliti buruk’ dan melayannya seperti ‘pemain remaja’.


“Mungkin ia bukan silap Serena,” katanya hari ini.


“Saya akui pencapaiannya luar biasa, sensasi. Saya ingin berdamai dengannya menerusi acara beregu campuran di Wimbledon atau Terbuka AS.


“Apabila dikenang kembali, memang kelakar apabila kesilapan seumpama itu boleh berlaku dalam kejohanan Grand Slam dan kekecohan yang ditimbulkan olehnya.”


Thiem yang juga pakar gelanggang tanah liat mahu memperbaiki rekod di Wimbledon di mana dia tidak pernah melepasi suku akhir. Dia menarik diri pada perlawanan pembukaan menentang pemain Cyprus Marcos Baghdatis tahun lalu.


“Wimbledon sungguh istimewa,” kata pemain berusia 25 tahun itu.


“Saya mahu buktikan saya lebih baik berbanding tahun lalu. Pada ketika itu saya mengalami sedikit kecederaan dan terpaksa menarik diri pada pusingan pertama. Sekarang saya melihat peluang terbaik untuk pergi lebih jauh.”


Norlida Ishak Shop