Expired : 18.06.18

Tiada maaf bagi jurulatih tak berdisiplin

WALAUPUN dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana jurulatih daripada kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang melanggar disiplin sepanjang tempoh PKP ataupun selepas tempoh itu.


Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu menuntut jurulatih sentiasa kekal berdisiplin serta perlu menunjukkan contoh teladan yang terbaik bagi mengelak tindakan diambil kepada mereka jika melanggar disiplin.


Beliau berkata, misi Terengganu adalah untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukma ke-20, oleh sebab itu kontrak jurulatih yang bakal tamat pada Julai ini tidak akan terjejas sebaliknya akan disambung sehingga berakhirnya kejohanan dwitahunan itu.


"Kedudukan jurulatih kita kekal dan tidak terjejas, kontrak mereka ini akan disambung semula bagi mana-mana yang sudah tamat tempoh selepas Julai.


"Namun begitu dari semasa ke semasa penilaian terhadap mereka akan dipantau, jika prestasi mereka tidak meningkat selain ada masalah, kita akan mengambil tindakan bersesuaian bagi memastikan mereka yang berkualiti dan berdisiplin saja berada dalam kontinjen kita," katanya.


Mengulas mengenai elaun dan gaji jurulatih serta atlet, beliau memaklumkan semuanya akan diteruskan memandangkan mereka tetap melakukan latihan walaupun di rumah masing-masing kerana tempoh PKP ini.


"Buat masa ini elaun dan gaji mereka diteruskan seperti biasa kerana latihan masih dilakukan di rumah masing-masing dengan pemantauan jurulatih melalui video yang dihantar pada setiap hari selain data latihan termasuk kadar nadi sebelum jurulatih menghantar laporan kepada MSNT setiap bulan.


"Bercakap mengenai tarikh baharu Sukma yang sebelum ini ditangguhkan, itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang akan bermesyuarat selewat-lewatnya akhir Mei ini.


"Begitu juga dengan had umur atlet yang akan dibenarkan beraksi juga akan diputuskan dalam mesyuarat itu, cumanya semua negeri mencadangkan atlet sama yang sudah mendaftar dalam kontinjen masing-masing dibenarkan beraksi walaupun mereka melebihi umur 21 tahun jika Sukma dilangsungkan pada tahun depan.


"Kami percaya jawatankuasa itu bakal membuat keputusan terbaik demi semangat kesukanan tinggi selain keadilan kepada atlet yang sudah melepasi tahap umur," katanya.