v Tidak Berasas, Tidak Tepat Jika Dakwa MIC Dan MCA Tidak Diajak Sertai Muafakat Nasional – Khaled
Expired : 18.06.18

Tidak Berasas, Tidak Tepat Jika Dakwa MIC Dan MCA Tidak Diajak Sertai Muafakat Nasional – Khaled

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) hari ini yang mendakwa bahawa MIC dan MCA tidak diajak sertai Muafakat Nasional adalah tidak benar.

Tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sekalipun laporan tersebut memetik pandangan peribadi penganalisis politik, pandangan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak tepat.

“Pertama sekali, kedua-dua penganalisis yang dirujuk tersebut bukanlah mereka yang mempunyai maklumat sahih berhubung strategi dan pelan tindakan Muafakat Nasional.

“Ini termasuklah apakah langkah dan pelan UMNO-PAS untuk berbincang dengan MIC, MCA dan pihak-pihak lain yang mahu menyertai Muafakat Nasional.

“Jadi, pandangan kedua-dua penganalisis tersebut tidak sama sekali menggambarkan realiti dan fakta yang sebenar. Ia hanyalah andaian mereka semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Ulasnya lagi, pihak terbaik untuk dirujuk dalam mendapatkan maklumat sahih sama ada MIC dan MCA diajak berunding atau tidak adalah pihak MIC dan MCA sendiri bukannya dengan membuat kesimpulan tersebut dari pihak ketiga.

“Atau setidak-tidaknya pihak akhbar boleh menghubungi UMNO dan PAS untuk mendapatkan kepastian.

“Kenyataan dari MIC, MCA, UMNO dan PAS adalah lebih sahih berbanding dakwaan mana-mana penganalisis luar parti,” tegasnya lagi.

Tambahnya walaupun diakui semua pihak bebas memberikan pandangan serta analisis mereka tetapi, janganlah sampai membuat kesimpulan peribadi yang bersifat andaian kosong yang sangat terpesong, tidak benar dan mengelirukan semua pihak.

“Paling penting, rujuklah mereka yang benar, yang mempunyai maklumat sahih dan berkredibiliti.

“Sebagai rekod dan penegasan, UMNO dan PAS akan menjayakan Muafakat Nasional ini dengan cara terbaik dan mampu diterima oleh semua termasuklah MIC dan MCA.

“Selari dengan namanya, semua pihak akan duduk, berbincang dan bermuafakat demi kepentingan nasional,” katanya.

Jealsnya juga, ia bukan misi solo mana-mana parti kerana ia akan dijayakan dengan kaedah dan pendekatan terbaik demi Malaysia yang lebih baik. – UMNO ONLINE