Expired : 18.06.18

Tidak perlu pilihan raya, rakyat mual isu video lucah, kata Mujahid

Datuk Seri Mujahid Yusof berkata pilihan raya tidak perlu diadakan kerana kerajaan seolah-olah terpalit dengan politik kotor. — Foto oleh Firdaus Latif
Datuk Seri Mujahid Yusof berkata pilihan raya tidak perlu diadakan kerana kerajaan seolah-olah terpalit dengan politik kotor. — Foto oleh Firdaus Latif

PARIT BUNTAR, 21 Julai — Parlimen tidak perlu dibubarkan lebih awal kerana sistemnya masih berfungsi dengan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai tempoh selama empat tahun untuk meneruskan pentadbiran negara ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun lepas.


“Kenapa perlu bubar sedangkan ia berjalan dengan baik? Apa yang perlu dibubarkan adalah agenda sempit yang cuba merosakkan negara,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) di sini hari ini.


Dr Mujahid mengulas mengenai gesaan PAS supaya Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15 supaya berlangsung lebih awal.


Jumaat lepas, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan sebagai menggesa PH membubarkan segera Parlimen kerana didakwa terbukti gagal memastikan kestabilan politik dan keharmonian dalam negara.


Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata pilihan raya juga tidak perlu diadakan kerana kerajaan seolah-olah terpalit dengan politik kotor dan menjijikkan terutama dalam dakwaan kes video lucah, rogol dan rasuah.


“Isu video lucah dan rasuah untuk menjatuhkan seseorang telah memberikan impak dan membuatkan orang ramai menjadi mual dan sudah tentu memberikan kesan secara tidak langsung kepada kerajaan.


“Saya tidak berpihak kepada sesiapa kerana politik kotor dan jijik modalnya cuba untuk mendedahkan perkara yang mengaibkan dan menjatuhkan seseorang,” katanya.


Sementara itu, Dr Mujahid berkata pihaknya memberikan sumbangan RM50 setiap seorang kepada 200 pelajar bagi Parlimen Parit Buntar untuk membuka akuan simpanan dalam Sijil Simpanan Pendidikan Negara (SSPN).


Katanya ia bertujuan membantu ibu bapa keluar dari kemiskinan melalui pendidikan anak dengan menampung kos pendidikan yang semakin meningkat. — Bernama


Norlida Ishak Shop