Expired : 18.06.18

“Tidak Tolak Unsur Mistik Dalam Misteri Kehilangan Acap”- Ini Kenyataan Terkini Pihak Bomba

Bernama News Channel melaporkan bahawa Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman tidak menolak unsur mistik dalam misteri kehilangan Mohammad Ashraf Hassan yang menggemparkan negara baru-baru ini.
”Sebenarnya dalam konsep ini antara percaya atau tidak, tetapi saya nak nyatakan dalam Al-Quran sendiri mengatakan bahawa perkara ini harus percaya dan tidak wajib percaya.
”Jadi dalam erti katanya, walaupun ada dalam kalangan sesetengahnya ada pihak yang mengatakan tidak boleh mempercayai tetapi kita tetap beriktiar kita laksanakan dan kita menerima ustaz-ustaz dan golongan ahli agama, ulama-ulama untuk memberi pandangan dan membantu kita dari segi solat hajat dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut berkata pihaknya sedia menerima bantuan daripada pihak-pihak yang mempunyai kemahiran tertentu untuk mencari mangsa bagaimanapun mengingatkan bantuan tersebut tidak bertentangan dengan syariat dan ajaran agama Islam.
Tambahnya lagi, usaha pencarian Mohammad Ashraf atau Acap berasal dari Muar, Johor juga tidak akan dihentikan bahkan operasi mencari yang melibatkan sekitar 20 anggota akan diteruskan.
Acap dilaporkan hilang ketika menyertai acara larian trek Gopeng Ultra Trail (GUT) pada 23 Mac lalu. Kelibatnya tidak kelihatan di garisan penamat biarpun menduduki tangga 10 teratas dalam kategori larian 25 kilometer. Sumber: Bernama News Channel

160 ANGGOTA POLIS AKAN CARI ACAP SABTU INI
Polis Perak akan menggerakkan 160 anggota termasuk pegawai bagi meneruskan gerakan mencari seorang peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 Mohammad Ashraf Hassan pada Sabtu ini.
Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata gerakan secara besar-besaran itu akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman dalam usaha untuk membantu mengesan kehilangan mangsa yang lebih dikenali sebagai Acap.
Beliau berkata pencarian Mohammad Ashraf yang hilang sejak 23 Mac lepas juga akan dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Kredit : Bernama Radio
Artikel berkaitan: Kehilangan Acap : Tiada Petunjuk Baharu – Bomba
Kota Bharu : Pasukan mencari dan menyelamat belum menemui petunjuk baharu dalam usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 yang hilang sejak lebih dua minggu lepas.
Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Abdul Razak Muda berkata, skop keluasan pencarian telah diperluaskan sebanyak radius 50 kilometer.
“Hari ini memasuki hari ke-18 tempoh pencarian, kita dapati tiada petunjuk baharu yang diperoleh walaupun telah menggunakan dua jenis anjing pengesan iaitu untuk mengesan mangsa yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal namun ianya tidak membawa kepada sebarang penemuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada sumber selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 Tahun 2019 di Kompleks Islam Darul Naim malam tadi.
Perkhemahan selama lima hari bermula 7 April lalu telah diadakan di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Tangok yang disertai 704 kadet bomba daripada 16 kontinjen di seluruh negara.
Hadir merasmikan majlis penutupan berkenaan ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan dan Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Seni, Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni, Kementerian Pendidikan Razuki A. Rahim.
Abdul Razak berkata, jika sebelum ini pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) beranggapan Mohamad Ashraf tergelincir atau terjatuh, tetapi apabila keluasan pencarian sudah menjangkau sebanyak 50 kilometer, kemungkinan tersebut terpaksa diubah.
“Saya dimaklumkan kemungkinan mangsa menghilangkan diri, ataupun ada kemungkinan yang beliau di culik.
“Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan, dan seramai 50 anggota bomba akan menyertai operasi pencarian secara besar-besaran dengan pihak polis pada Sabtu ini,” katanya.
Sementara itu, Razuki berkata sehingga kini seramai 185,841 pelajar di seluruh negara terlibat secara langsung dalam badan beruniform bomba dan penyelamat di peringkat sekolah.
“Penglibatan yang memberangsangkan ini memberi satu gambaran bahawa pelajar yang terlibat secara aktif dalam kokurikulum di peringkat sekolah mampu melahirkan modal insan kelas pertama.
“Penglibatan pelajar dalam perkhemahan dengan pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk kawad kaki, ‘Teachers Challenge’, dan kebudayaan dapat memberi pendedahan awal secara praktikal kepada mereka jika mereka berminat untuk menjadi anggota bomba nanti,” katanya.
Untuk rekod, johan keseluruhan bagi Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 Tahun 2019 dinobatkan kepada kontinjen negeri Sabah, dan Melaka dipilih menjadi tuan rumah perkhemahan berkenaan kali ke-30 pada Tahun 2020.
Sumber : Bernama

Norlida Ishak Shop