Expired : 18.06.18

Tidak Wajar Guna Wang Rakyat Untuk Manfaat Swasta – Suraya

ALOR SETAR 7 Feb – Langkah Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan sebanyak RM12 juta untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina melalui sumber kementerian tersebut baru-baru ini, adalah tidak wajar kerana menggunakan wang rakyat untuk manfaat pihak swasta.



Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, sedangkan pada masa sama, masih banyak sekolah di kawasan-kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak yang memerlukan peruntukan kewangan.


Kata beliau, langkah itu juga secara jelas telah bercanggah dengan semangat Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan berhubung keistimewaan pendidikan yang sepatutnya mengutamakan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.


“Adakah kerajaan Pakatan Harapan ingin menjulang kepentingan institusi pendidikan Cina termasuk berstatus swasta, berbanding Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di bawah Kementerian Pendidikan yang lebih berkonsepkan perpaduan anak bangsa?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan semalam yang menjelaskan bahawa peruntukan kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina 2019 berjumlah RM12 juta, bukan merupakan peruntukan Kementerian Pendidikan sebaliknya adalah dana khas yang  disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah terbabit.


Dalam pada itu, Suraya turut mempersoalkan Kementerian Kewangan yang tidak menyalurkan peruntukan pendidikan 2019 itu secara terus kepada Kementerian Pendidikan.


“Adakah kerana Kementerian Kewangan tidak mempercayai kredibiliti dan cuba mengambil-alih tugas Kementerian Pendidikan?,” soalnya lagi.


Beliau sehubungan itu menyeru kepada Kerajaan Pakatan Harapan supaya menghormati hak keistimewaan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada SK dan SMK.


Katanya, ini kerana kedua-dua sekolah itu lebih memerlukan peruntukan penambahbaikan infrastruktur serta pembangunan khususnya di kawasan luar bandar. – UtusanOnline



Norlida Ishak Shop