Expired : 18.06.18

Tiga beranak maut, lapan cedera kereta bertembung

TIGA beranak maut, empat parah serta empat yang lain cedera apabila Proton Wira bertembung Proton Exora di Kilometer 15 Jalan Mersing-Endau, Mersing 11.30 pagi tadi.


Tiga yang maut dikenali Mohd Safar Zakaria, 34, isterinya, Nurul Jannah Talib, 29 dan anak mereka, Muhammad Darwisy Mohd Safar, 4.


Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.30 pagi sebelum sepasukan polis ke lokasi.


Menurutnya, Nurul Jannah dan Muhammad Darwisy meninggal dunia di lokasi manakala Mohd Safar meninggal dunia ketika di Hospital Mersing.


Menurutnya, hasil siasatan awal Proton Wira dinaiki lima sekeluarga itu dari arah Endau ke Mersing dan apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.


“Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora berada di laluan bertentangan dan tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.


“Enam mangsa di dalam Proton Exora dan dua mangsa di dalam Proton Wira dihantar ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala tiga beranak itu dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, operasi menyelamatkan mangsa kemalangan diketuai Pegawai Operasi Badrulhisyam Mohamad dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau bersama enam anggota dan sebuah jentera.


Menurutnya, operasi mendapat bantuan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, sebuah jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).


“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Wira dan Proton Exora.


“Selain mangsa yang meninggal dunia, seorang lelaki berusia 40 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun parah.


“Selain itu dua daripada enam individu yang menaiki Proton Exora parah termasuk remaja lelaki berusia 18 tahun dan perempuan berusia 22 tahun.


“Remaja lelaki berusia 15 tahun, dua wanita berusia 26 tahun dan 49 tahun serta lelaki berusia 52 tahun cedera,” katanya.


Operasi tamat pada 1.10 tengah hari.


Norlida Ishak Shop