Expired : 18.06.18

Timbalan pengarah agensi kerajaan direman terima suapan


PUTRAJAYA, 4 Jamadilawal 1440H, Khamis – Seorang timbalan pengarah agensi kerajaan dan seorang pekerja swasta ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan berjumlah RM270,000 bagi mendapatkan projek berkaitan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).


Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Low Wen Zhen selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dua individu terbabit.


Suspek dipercayai menerima suapan daripada pekerja syarikat berkenaan sebagai balasan ke atas kelulusan projek yang dianugerahkan kepada syarikat terbabit.


Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek ditahan di sebuah pusat membeli-belah sekitar Putrajaya semalam dipercayai berkaitan penerimaan wang tunai berjumlah RM50,000, iaitu baki jumlah wang rasuah sepatutnya diterima suspek.


Kata sumber itu, suspek didakwa menerima wang suapan itu secara berperingkat sejak 2015 oleh syarikat terlibat sebagai ganjaran kerana menganugerahkan projek berkenaan.


USP merupakan satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia, khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu.


Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.20 pagi berpakaian SPRM dan bergari.


Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- Bernama


The post Timbalan pengarah agensi kerajaan direman terima suapan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop