Expired : 18.06.18

TNB bakal kena penalti [METROTV]

SYARIKAT pembekal tenaga elektrik utama negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) selepas didapati melakukan beberapa kesalahan dan ketidakpatuhan menyediakan perkhidmatan utiliti kepada pengguna.


Mendedahkan perkembangan terbaru itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, ST sedang menyenaraikan jumlah kesalahan dilakukan TNB sebelum mengumumkan penalti yang perlu dibayar syarikat berkenaan.


Menurutnya, siasatan awal mendapati TNB melakukan kesalahan kerana tidak menepati prestasi perkhidmatan piawai ditetapkan kementerian dalam menyediakan perkhidmatan elektrik, baru-baru ini.


“TNB melakukan kesalahan dan apa yang berlaku sebelum ini (kenaikan bil) disebabkan masalah teknikal syarikat berkenaan. Mereka sudah selesaikan 50 peratus aduan sebelum hari raya, namun saya masih menunggu kemas kini keseluruhan aduan yang sudah selesai.


PENGGUNAAN Smart Meter dikaitkan dengan peningkatan bil elektrik.



“Memang mereka (TNB) ada lakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga. Ada dua pilihan sama ada dikenakan tindakan mahkamah atau penalti. Tapi penalti lebih senang.


“Sekarang ST masih mengumpul jumlah kesalahan yang dilakukan TNB dan jumlah kesalahan dan penalti akan diumumkan tidak lama lagi.


“Ini untuk mengingatkan TNB juga tidak boleh cuai dalam menyediakan perkhidmatan elektrik di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual di pejabatnya, di sini, semalam.


Bee Yin berkata, sebagai penyedia perkhidmatan dan pemegang lesen, TNB seharusnya patuh dengan prestasi perkhidmatan piawai supaya tidak membebankan pengguna dan menjadi lebih baik.


Katanya, sebagai pegawal selia, ST bertindak lebih tegas terhadap penyedia perkhidmatan dan sekiranya kesalahan dikesan, tindakan sewajarnya akan dibuat.


Kementeriannya sebelum ini mengarahkan ST menyiasat aduan pengguna mengenai bil elektrik yang tinggi dikenakan TNB selepas menerima lebih 300 aduan dari seluruh negara berhubung isu bil elektrik tinggi.


Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Amir Hamzah Azizan dalam satu sidang media khas 31 Mei lalu mengakui berlaku gangguan dalam sistem mereka pada 15 hingga 20 Mei lalu menyebabkan segelintir pengguna menerima bil yang tinggi.


Isu teknikal berkenaan memberi kesan kepada sistem pengebilan mereka namun pelanggan sudah dimaklumkan menerusi pelbagai platform.


TNB berjanji untuk meneliti dan memperinci aduan atau laporan yang diterima dan sekiranya terbukti ada lebihan caj kami akan kreditkan semula dalam bil pelanggan.


Norlida Ishak Shop