Expired : 18.06.18

Tok Mat Ajak Fikir Selepas 10 Bulan Kerajaan PH Urus Negara Apa Rakyat Dapat?

REMBAU, 9 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak rakyat untuk sama-sama berfikir sejenak selepas hampir 11 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui kepimpinan negara.


Soal beliau apakah rakyat hari ini selesa dengan kerajaan PH dan sepertimana disebutkan, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, rakyat Malaysia tidak selesa berada di negara ini kerana masalah yang pelbagai khususnya dasar-dasar baru yang dibuat semuanya tidak menyedapkan telinga mendengar.


“Semuanya menyakitkan hati… dahlah janji-janji yang terkandung di dalam manifesto tidak dilaksanakan… janji satu hari ada… janji 100 hari ada… janji manifesto jangka panjang pun ada.


“Janji satu hari apa dia… menang ini malam esok pagi harga minyak RM1.50 satu liter… mana ada…, janji 100 hari pula berderet-deret… hutang PTPTN… hutang FELDA akan dihapuskan… tol tidak ada… macam-macam kalau kita nak senaraikan.


“Rakyat rasa tertekan… bukan tertekan janji manifesto itu tak dilaksanakan sangat tetapi tertekan kerana masalah yang dihadapi oleh rakyat yang menghadapi desakan tekanan kehidupan. Harga barang tidak turun tetapi bertambah naik. Janji sebelum ini tidak ada GST harga barang akan turun tapi sampai hari ini tidak turun.


“Itu satu dan dalam keadaan yang sama pendapatan rakyat Malaysia juga makin berkurangan. Jadi dua belah ‘pisau dua mata’ yang sedang menikam rakyat hari ini. Harga barang meningkat pendapatan makin kurang,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Calon BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah, di sini Isnin malam.


Mohamad seterusnya menambah kerajaan hari ini tidak memperlihatkan adanya hala tuju ekonomi negara.


“Apa hala tuju ekonomi kita… mereka yang menjalankan perniagaan sekarang ini merasa amat tertekan… industri perumahan tidak boleh jual rumah-rumah… tidak boleh nak pinjam beli rumah. Saya jalan-jalan dekat Pekan Rantau saya tanya macam mana sekarang mereka kata sekarang mahu dapat RM100 sehari pun susah… jadi ini merupakan masalah.


“Kita akan berdepan dengan krisis ekonomi yang mana jika tidak ditangani dengan betul-betul negara kita akan terjerumus dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan akhirnya kita akan terus menjadi negara yang regresif dan bukannya progresif.


“Apa yang kita buat hari ini adalah ke arah negara yang regresif. Hari ini bukan sahaja orang tidak datang melabur ke negara kita, pelabur sedia ada pula membawa pelaburan mereka keluar. Ini satu perkara yang teruk. Kerajaan pula membatalkan projek-projek.


“Sepatutnya apabila pelabur bawa keluar duit, kita mesti mencurahkan duit kita untuk ‘jump start’ ekonomi kita. Domestik ekonomi kita kerajaan mesti pacu. Kerajaan mesti menjadi ‘pilot’ apabila ada cuaca tidak elok, ‘pilot’ tidak boleh pakai ‘automatic pilot’… dia kena pandu sendiri dan kalau boleh ubah perjalanan, dia akan ubah perjalanan. Mahu naik atau turun sedikit… ubah kiri atau ubah kanan kalau ada ribut yang besar.”


Tambahnya lagi sepatutnya kerajaan buat sebaik yang mungkin untuk ‘capital injection’… domestik ekonomi mesti dirancakkan tetapi mereka buat sebaliknya.


“Mereka memberhentikan projek-projek besar kerana projek berkenaan adalah projek kerajaan BN. Kita buat projek ini bukan untuk orang BN sahaja. Kita buat untuk semua orang… kita buat untuk rakyat. Mengapa pula rakyat perlu menderita kerana apabila dibatalkan projek ini ramai yang kena buang kerja dan sebagainya. Mana janji mahu memberikan peluang pekerjaan satu juta kerana yang menyediakan peluang pekerjaan adalah pihak swasta,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop