Expired : 18.06.18

Tok Mat, jangan takbur menabur jasa

Kenyataan calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya DUN Rantau Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan yang menuntut pengundi di sana agar “mengenang budi” beliau semasa menjadi menteri besar Negeri Sembilan adalah jelas menunjukkan sikap ketidakikhlasan beliau semasa menjawat jawatan berkenaan. 


Tuntutan Mohamad Hasan yang juga Presiden Umno kepada pengundi ini merupakan satu permintaan yang sangat angkuh serta mendabik dada serta seolah-olah menidakkan sumbangan dari semua agensi serta penduduk Rantau sendiri yang berusaha di dalam membangunkan daerah itu.


Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melihat tuntutan Mohamad Hasan ini sebagai terdesak, angkuh malahan memalukan diri beliau sendiri memandangkan adat Melayu tidak sekali-kali mengajar bangsanya agar menuntut supaya dikenang perkara baik yang telah dilakukan. Perbuatan Mohamad Hasan ini saling tak tumpah seperti apa yang dilakukan oleh mantan ketuanya iaitu bekas Presiden Umno Najib Razak yang meminta pengundi agar “You help me, I help you” pada pilihan raya umum yang lalu. 


KEADILAN menyifatkan tuntutan “mengenang budi” ini terpaksa beliau lakukan setelah beliau terlanjur bahasa dengan berkasar bahawa bukan Melayu hanyalah “penumpang” di negara ini ketika memberi ucapan dihadapan kelompok Melayu di pilihanraya kecil Semenyih baru-baru ini.


KEADILAN mendesak agar calon BN Mohamad Hasan memohon maaf kepada rakyat Malaysia serta menarik balik kata-kata beliau itu dan KEADILAN seterusnya menyeru agar pengundi Rantau menterjemahkan sendiri betapa sifat dua wajah beliau apabila berhadapan dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu.


KEADILAN sentiasa berpegang teguh kepada pendapat bahawa sesiapa sahaja yang dilantik untuk memikul tanggung jawab sebagai ADUN haruslah menggalas mandat tersebut dengan penuh amanah, dedikasi dan rendah diri, bukannya untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi menuntut-nuntut di kemudian hari agar membalas kembali kerja-kerja serta budi-pekerti yang telah ditaburkan.


KEADILAN komited bersama-sama dengan Dr S. Streram, Menteri Besar Negeri Sembilan serta kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan isu-isu perumahan rakyat mampu milik yang terbengkalai serta tidak dapat diselesaikan oleh Adun dan kerajaan negeri BN terdahulu. KEADILAN percaya dan beriltizam bahawa setelah puluhan tahun mengecapi kemerdekaan, setiap penduduk di Rantau harus dan berhak mempunyai kediaman sendiri bak kata pepatah lama  dibilang kato nan ampek, partamo kato pusako. Sanong hati santoso tampek, di sinan ado raso mardeko”.


Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin


Ketua Penerangan KEADILAN


Norlida Ishak Shop