Expired : 18.06.18

Tolak bonus RM41j

New York: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing, Dennis Muilenburg menolak bonus dan hasil pendapatan saham miliknya dalam syarikat penerbangan itu untuk 2019 berjumlah AS$10 juta (RM41.4 juta) selepas krisis dua pesawat 737 MAX terhempas membunuh 346 orang.


Menurut pengerusi baru Boeing, David Calhoun, Muilenburg mengesahkan kepadanya melalui telefon menolak bonus terbabit.


Menurut laporan news.com.au, tahun lalu Muilenburg menerima pendapatan lebih AS$30 juta (RM124 juta), termasuk bonus AS$13.1 juta (RM54.2 juta) dan AS$7.3 juta (RM30.2 juta) hasil saham, termasuk hasil pada 2017 yang digabungkan dengan 2018.


Daily Mail melaporkan Calhoun berkata, Muilenburg enggan menerima bayaran bonus 2019 itu sehingga penyerahan pesawat 737 MAX selesai kepada semua pembeli.


CEO Boeing, Muilenburg



Pesawat Boeing 737 MAX dikenakan larangan terbang berikutan pesawat milik Lion Air Indonesia terhempas pada 20 Oktober 2018, membunuh 189 penumpang dan anak kapal serta nahas pesawat Ethiopian Airlines pada 10 Mac lalu, membunuh 157 orang.


Penyiasat mendapati sistem pemanduan automatik (MCAS) menjadi punca nahas dan Boeing sedang mengemas kini, termasuk menggunakan perisian komputer baru dalam usaha membolehkan pesawat siri berkenaan kembali terbang.


Minggu lalu, sekumpulan Ahli Kongres Amerika Syarikat mendesak Muilenburg meletak jawatan atau sekurang-kurangnya melepaskan gajinya selepas dua hari kes itu dibentangkan kepada Kongres.


Dalam temuramah dengan CNBC, Calhoun bagaimanapun mempertahankan Muilenburg dengan berkata, CEO itu sudah melakukan apa yang sepatutnya.


Menurutnya, syarikat masih yakin dengan Muilenburg walaupun beliau kehilangan jawatannya sebagai pengerusi tahun lalu.


Menurut Bloomberg, krisis 737 MAX itu menyebabkan Boeing kehilangan nilai sekurang-kurangnya AS$9 bilion (RM37.2 bilion).


Norlida Ishak Shop