Expired : 18.06.18

Tolak ICERD bukan bermakna orang Melayu rasis


TANGGAL 8 Disember 2018 bakal menjadi tarikh penting dalam dalam sejarah Malaysia.


Hari di mana orang Melayu Islam berhimpun bersama-sama, tanpa mengira perbezaan fahaman politik, fikrah, mahupun umur, untuk bangkit melawan agenda pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengubah identiti negara ini yang berteraskan islam dan melayu.


Secara khusus, Himpunan 812 ini menjadi platform kepada orang Melayu Islam untuk menunjukkan penentangan terhadap cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


Kita menentang ICERD ini bukan kerana kita rasis, sebaliknya pihak yang memperjuangkan ICERD inilah yang rasis terhadap bangsa Melayu dan Bumiputera, malah layak digelar sebagai pengkhianat negara kerana lebih mengagungkan undang-undang asing berbanding perlembagaan negara sendiri.


Kita menentang ICERD ini kerana ia sama sekali bercanggah dengan perlembagaan. Dakwaan pihak-pihak seperti Waytha Moorthy bahawa perlembagaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera akan terjamin di bawah Perkara 153, sama sekali tidak boleh diterima.


Bukan sahaja artikel-artikel dalam ICERD ini bertentangan dengan perlembagaan dan akan menjadi “floodgate” untuk negara lain mendesak Malaysia menggubal perlembagaan negara ini, pejuang ICERD ini juga adalah golongan yang sama yang berpuluh tahun memperjuangkan penghapusan hak istimewa orang Melayu!


Tidak meratifikasi ICERD ini bukan bermakna kita pro diskriminasi. Hakikatnya hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam perlembagaan adalah hasil timbal balik pemberian kerakyatan kepada kaum Cina dan India.


Jika kontrak sosial ini hendak diubah, adakah kaum lain bersedia untuk dilucutkan kerakyatan? Dalam masa yang sama, adakah kaum-kaum lain di negara ini ditindas seperti mana yang berlaku kepada kaum minoriti di luar negara?


Negara mana yang membenarkan rakyatnya bebas berbahasa ibunda sehingga ada yang meminggirkan bahasa kebangsaan? Negara mana yang majoriti kaumnya adalah bangsa yang didiskriminasi dalam kerja, malah ekonomi pun dipegang oleh kaum lain?


Perlembagaan kita jauh lebih baik berbanding ICERD dalam memberikan keadilan kepada semua. Justeru, kenapa perlu untuk kita ‘downgrade’ daripada kereta ‘Mercedes’ kepada motor kapcai?


Apa yang lebih penting, sebenarnya ICERD ini sama sekali bertentangan dengan islam di mana ICERD memperjuangkan kesamarataan, walhal dalam Islam kita memperjuangkan keadilan iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Pertembungan dengan ICERD ini berlaku kerana neraca hak asasi ICERD adalah mengikut acuan barat yang berkiblatkan hawa nafsu sampaikan perkara songsang seperti LGBT pun hendak dibenarkan atas alasan kesamarataan.


Walaupun YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, suatu jaminan bertulis dan ‘binding’ perlu diberikan oleh kerajaan berdasarkan track record kerajaan PH yang sangat ‘cemerlang’ dalam membuat keputusan dan kenyataan ‘u-turn’.


Jika manifesto PRU PH, yang menjadi faktor kejayaan mereka dalam PRU yang lepas, pun boleh di’sampah’kan dengan kata-kata ‘manifesto bukan janji, manifesto bukan kitab suci’, apatah lagi pengumuman kerajaan berkenaan dengan ICERD ini.


Yang lebih membimbangkan, menteri-menteri kabinet, yang sepatutnya menunjukkan sokongan terhadap keputusan ini, menunjukkan sikap “lebih sudu daripada kuah” dalam menyokong usaha meratifikasi ICERD dan juga mempertahankan golongan pro-ICERD itu sendiri.


Justeru, saya dan Pemuda Isma menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat melayu islam, untuk sama-sama turun dan menyertai Himpunan 812 esok bagi memberikan ‘signal’ yang lantang dan jelas terhadap pihak kerajaan berkenaan isu ICERD ini.


Kita juga mahu memberikan tekanan kepada pihak kerajaan supaya tidak tunduk kepada desakan golongan-golongan pengkhianat yang tidak henti-henti ingin menukar identiti negara ini yang berteraskan islam, melayu, dan raja – daripada isu IFC, COMANGO, hinggalah kepada ICERD.


Ayuh rakyat Malaysia, mari kita bangkit! Sama-sama kita hadir ke Himpunan 812 demi agama, bangsa dan negara!


Muhammad Farid Hussin

Ketua Pemuda

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)


Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.


The post Tolak ICERD bukan bermakna orang Melayu rasis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop