Expired : 18.06.18

Tolong bagi sokongan buat skuad negara

KUALA LUMPUR: Sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kebangsaan Bawah 22 tahun (B-22) perlu dizahirkan pengendali pasukan termasuk ‘berlapang dada’ melepaskan pemain untuk menabur bakti demi negara.


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, hakikatnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak berhak campur tangan berkaitan persatuan bola sepak.


Namun, pihaknya memandang serius perkara itu dan berusaha memberi bantuan sewajarnya mengikut saluran sedia ada tanpa ada elemen paksaan.


“Kita jangan lupa, khususnya pasukan Malaysia yang menjadi fokus utama dan sepatutnya diberikan bantuan khususnya apabila nama negara juga yang diangkat dan dimartabatkan.


“Saya berharap bahawa pengendali kelab khususnya akan beri sokongan yang padu kepada (Datuk) Ong Kim Swee,” katanya.


Beliau berkata demikian mengulas laporan Arena Metro semalam, bahawa Kim Swee selaku ketua jurulatih B-22, seperti meminta sedekah apabila hasratnya memanggil beberapa pemain bagi menyertai kem latihan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Piala AFF B-22 di Kemboja tidak dilayan segelintir pasukan.


Menurut Syed Saddiq, isu halangan mendapatkan pemain pelatih untuk skuad kebangsaan berlaku hampir setiap tahun sepatutnya dielakkan melalui kerjasama antara pihak terbabit.


Norlida Ishak Shop