Expired : 18.06.18

TPM hormati peletakan jawatan Sultan Muhammad V

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong XV.


Beliau turut merakamkan perasaan sedih dengan keputusan itu kerana pertukaran kerajaan selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lepas berlaku dan disaksikan semasa pemerintahan baginda.


“Baginda juga memberi pengampunan kepada suami saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kami hormati keputusan Seri Paduka,” katanya selepas menghadiri jamuan malam Makmal Kemanusiaan 2.0 anjuran Mercy Malaysia di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) semalam.


Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz.


Sementara itu, Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar menjunjung kasih kepada Sultan Muhammad V kerana pernah memberi pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Penghargaan itu dizahirkan Nurul menerusi akaun Twitter beliau sewaktu berkongsi pautan berita mengenai peristiwa itu.


“Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong kerana memberi pengampunan penuh atas peminggiran prinsip keadilan kepada ayahanda Anwar Ibrahim.


“Semoga Malaysia tidak meneruskan lagi penahanan mana-mana tahanan politik,” katanya.


Norlida Ishak Shop