Expired : 18.06.18

TPM: Jaga anak, tidak mungkin hukum pesalah pedofilia seumur hidup

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan perlu bersikap adil kepada semua termasuk Nur Fitri Azmeer Nordin. — Foto Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan perlu bersikap adil kepada semua termasuk Nur Fitri Azmeer Nordin. — Foto Bernama

ALOR STAR, 24 Ogos — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Nur Fitri Azmeer Nordin yang didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London boleh meneruskan pengajiannya di negara ini.

Beliau berkata kerajaan perlu bersikap adil kepada semua termasuk bekas pelajar jurusan Matematik itu dengan dalam masa yang sama akan memantau perlakuannya bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.


“Dia sudahpun menjalani hukumannya atau sebahagian daripadanya...adakah kita mahu menghukumnya seumur hidup?...Pada masa yang sama kita mahu menjaga anak-anak kita juga, jadi kita perlu seimbang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan masyarakat terhadap Nur Fitri dan sama ada dia wajar diberi peluang selepas menerima hukuman atas kesalahannya.


Dr Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Rakyat peringkat Negeri Kedah di Pusat Membeli-Belah Aman Central, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementeriannya telah menyediakan pangkalan data bagi pesalah jenayah terhadap kanak-kanak, namun data yang ada hanya bermula pada 2017.


“Kami akan buat lebih komprehensif sebab kutipan data hanya pada 2017, tapi Fitri pada 2015 dan dia berada di luar negara jadi kami akan lihat kelemahan ini dan akan mengatasinya, supaya keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita akan terpelihara,” katanya.


Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.


Nur Fitri menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sebelum kerajaan Malaysia membawanya pulang.


Nur Fitri kini diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas mula mendaftar sebagai pelajar di institusi itu sejak 2016 bagi program pengajian peringkat ijazah sarjana muda.


Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai rombakan Kabinet, Dr Wan Azizah enggan mengulas perkara itu sebaliknya meminta wartawan bertanyakan soalan itu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Itu kena tanya perdana menteri,” katanya ringkas.


Media sebelum ini melaporkan mengenai rombakan Kabinet, bagaimanapun Dr Mahathir semalam menyangkal perkara itu sebaliknya menjelaskan kemungkinan berlaku pertukaran kecil portfolio menteri sahaja. — Bernama


Norlida Ishak Shop