Expired : 18.06.18

Tragedi 6 anggota bomba lemas tiada unsur cuai: Zuraida


KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Tragedi enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia lemas di bekas lombong Taman Putra Perdana pada Oktober lalu, tidak mempunyai unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang disengajakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa siasatan berhubung insiden itu juga merumuskan tragedi berkenaan sebagai kejadian malang yang tidak dijangka.

“Semua garis panduan telah diikuti mereka seperti yang dipelajari dan dilatih sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas program gotong-royong membasmi nyamuk Aedes di Taman Ampang Mewah, Ampang, di sini, hari ini.

Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang berkata, siasatan mendapati kemalangan itu disebabkan pelbagai faktor yang wujud sebelum dan semasa kejadian, termasuk, kurangnya kefahaman mengenai risiko dinamik empangan tembok rendah (LHD) dalam kalangan anggota terbabit.

“LHD ini kelihatan tenang dan tidak berbahaya, tidak tinggi, hanya sekitar paras dada dan tidak akan tenggelamkan kita tetapi apabila air turun dari LHD ini, kuasa hidrauliknya sangat kuat dan mengakibatkan kemalangan sehingga enam anggota bomba kita terkorban,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa siasatan juga mendapati wujud kekeliruan komunikasi dalam kalangan pasukan penyelamat, selain pelan kecemasan tidak berjalan seperti yang dirancang.

Kementeriannya akan melakukan penambahbaikan yang disaran oleh jawatankuasa itu, termasuk, mewujudkan sistem penyiasatan insiden lemas bersepadu bagi memastikan penemuan penyiasatan disebarkan, dan dikemukakan kepada semua agensi berkaitan dalam tempoh bersesuaian, agar langkah pencegahan yang berkesan dapat dilaksana.

Selain itu, latihan bersama strategik membabitkan agensi-agensi penyelamat akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan keberkesanan koordinasi dan komunikasi antara agensi semasa operasi menyelamat, katanya.

Bagi mengurangkan risiko LHD, Zuraida berkata, reka bentuk perkara itu sedang dikaji semula selain pihak berkuasa tempatan perlu memasang pagar dan papan tanda amaran di kawasan berkenaan bagi meminimumkan insiden lemas.

“Kita juga akan menyediakan latihan untuk pasukan bomba dalam usaha menambah pengetahuan menangani risiko LHD dan cara berdepan dengan risiko berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian 3 Oktober tahun lalu, enam anggota Pasukan Penyelam Dalam Air (PPDA) lemas ketika operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan terjatuh ke dalam bekas lombong.

Susulan insiden itu, kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dan laporan jawatankuasa itu telah dibentangkan kepada Kabinet pada Jumaat lalu. – Bernama


(KEMAS KINI) Nama enam anggota bomba lemas di lombong Puchong


The post Tragedi 6 anggota bomba lemas tiada unsur cuai: Zuraida appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop