Expired : 18.06.18

Tragedi Christchurch: PM New Zealand tuntut penjelasan Facebook


WELLINGTON, 10 Rejab 1440H, Ahad – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern hari ini menuntut penjelasan daripada Facebook dan rangkaian media sosial lain yang membenarkan serangan keganasan sehingga mengorbankan 50 nyawa di dua masjid di Christchurh, New Zealand kelmarin, boleh disiar secara langsung melalui platform itu.

Bercakap kepada pemberita, Ardern berkata, Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg telah menghubunginya dan mengambil maklum mengenai insiden yang berlaku Jumaat lalu.

Video tembakan mengerikan oleh suspek pengganas berkulit putih itu disiar secara langsung di Facebook pada hari kejadiaan, sebelum pihak syarikat gergasi media sosial itu menyekatnya.

Bagaimanapun, rakaman siaran langsung berdurasi 17 minit itu telah dikongsi dan disebarkan pengguna media sosial di Youtube dan Twitter, sehingga platform internet segera menyekat penyebaran semula video ngeri itu.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk membuang, atau cuba membuang beberapa rakaman berkaitan insiden serangan. Namun, ia bergantung kepada platform media sosial terbabit untuk memudahkan proses menyekatnya supaya tidak disebar lagi,” kata Ardern.

Sementara itu, wakil pihak Facebook di New Zealand, Mia Garlick dalam satu kenyataan hari ini memberi jaminan akan meningkatkan usaha untuk menghapuskan sebarang kandungan yang berunsur keganasan.

“Dalam tempoh 24 jam, kita telah membuang 1.5 juta video serangan global yang mana lebih daripada 1.2 juta telah disekat ketika dimuat naik,” katanya.

Dalam kejadian tergempar kelmarin, umat Islam yang mahu mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand dilaporkan ditembak secara rambang oleh seorang lelaki pengganas berkulit putih.

Brenton Tarrant, daripada Grafton, Australia, dengan sengaja berkongsi video secara langsung ketika dia melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah solat Jumaat menerusi Facebook, selepas memuat naik pautan 73 halaman manifesto di 8chan.

8chan adalah laman web yang disertai berjuta pengguna tanpa nama yang dirahsiakan identitinya dan sebelum ini menjadi lubuk perkongsian kandungan pornografi kanak-kanak.

Video itu menunjukkan dia menerjah masuk ke Masjid Al Noor, Christchurch, pada jam 1.30 petang dengan berpakaian askar.

Setakat hari ini, angka kematian akibat serangan keganasan berkenaan meningkat kepada 50 orang.- Agensi


The post Tragedi Christchurch: PM New Zealand tuntut penjelasan Facebook appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop