Expired : 18.06.18

Treler bawa muatan asid terbalik


SEREMBAN, 4 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Sebuah treler membawa muatan asid nitrik yang sedang ditunda, terbalik di Kilometer 270.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini hari ini.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 pagi itu menyebabkan dua tong cecair bahan kimia yang dibawa treler itu pecah dan tumpah di lokasi kejadian.


“Treler itu mengalami kerosakan dan ketika kejadian ia sedang ditunda oleh sebuah lori penunda. Tali penarik yang dipasang bagi menunda treler itu terlucut menyebabkan treler berkenaan terbalik.


“Sebanyak 35 tong berisi asid nitrik terjatuh dan dua daripadanya pecah serta tumpah di atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.09 pagi.


Menurutnya, seramai 12 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dihantar ke lokasi.


“Anggota HAZMAT mengambil masa kira-kira dua jam bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia berkenaan.


“Kejadian itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa. Kes diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut,” katanya.- Bernama


The post Treler bawa muatan asid terbalik appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop