Expired : 18.06.18

Trend remaja bunuh diri meningkat


BANGI, 10 Muharram 1441H, Selasa – Tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia di antara 13 hingga 17 tahun di Malaysia menunjukkan peningkatan trend. 


Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2017, prevalen idea ingin bunuh diri adalah 10.0 peratus pada tahun 2017 berbanding 7.9 peratus pada tahun 2012.


Manakala prevalen membuat perancangan untuk bunuh diri adalah 7.3 peratus (2017) berbanding 6.4 peratus (2012), sementara cubaan bunuh diri adalah 6.9 peratus (2017) berbanding 6.8 peratus (2012).


Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu usaha bersepadu untuk mencari jalan penyelesaian menangani isu tingkah laku bunuh diri perlu digerakkan.


Ini kerana, katanya, faktor-faktor yang menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri adalah di luar jangkauan kesihatan seperti komorbiditi gangguan mental, penyalahgunaan substans, masalah psikososial dalam keluarga, tragedi kehidupan, masalah hubungan dan kewangan.


“Bunuh diri boleh dicegah. Sebagai ahli masyarakat, kita boleh mengambil tindakan untuk membantu sekiranya kita mengetahui terdapat di antara ahli keluarga, sahabat handai atau mereka yang kita kenali mengalami krisis emosi, kemurungan atau berniat untuk membunuh diri. 


“Selain itu, kita juga perlu mengambil masa untuk mendengar keluhan mereka dan mengambil berat dan memberikan sokongan sosial kepada mereka.


“Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan rawatan pakar atau hubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada,” katanya.


Noor Hisham berkata, KKM menyediakan perkhidmatan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 buah hospital-hospital kerajaan, 1001 buah klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 25 buah Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI). 


Katanya, individu yang mempunyai masalah berkaitan isu-isu kesihatan mental boleh juga mendapatkan bantuan melalui  talian Hotline (bebas tol) 24 jam 03-79568145 yang dikendalikan oleh pihak The Befrienders.


“Semoga usaha ini dapat lebih meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri dan mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental dan gangguan mental,” katanya.


The post Trend remaja bunuh diri meningkat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop