Expired : 18.06.18

TRW, KUFC layak beraksi di Liga-M

SKUAD The Red Warriors (TRW) dan Kelantan United Football Club (KUFC) mampu menarik nafas lega selepas kedua-dua pasukan diberikan lesen kelab untuk layak beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.


Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Husin Deraman dan Setiausaha Eksekutif KUFC Wan Mohd Zul Ikman hari ini.


Husin berkata KAFA menerima lesen berkenaan selepas berjaya memenuhi lima daripada enam syarat perlesenan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).


“Walaupun diberikan kelulusan secara bersyarat namun ia cukup menggembirakan kami selepas KAFA sebelum ini mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jaminan untuk semua perkara yang tertunggak dan akan dipantau untuk memastikan semua jaminan itu dipenuhi.


“Hanya satu perkara yang masih belum dipenuhi KAFA membabitkan aspek kewangan namun kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi kriteria berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami dalam memenuhi aspek perlesenan bagi musim 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sementara itu, Wan Mohd Zul berkata kelulusan itu mengesahkan pasukan KUFC boleh beraksi pada saingan Liga Perdana yang bakal memulakan sepak mula pada Februari depan.


"Kelulusan itu turut membolehkan kami menandatangani kontrak pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi cabaran sepanjang Liga-M berlangsung.”