Expired : 18.06.18

‘Tuanku anggap surat saya letak jawatan sebagai cenderamata’


JOHOR BAHRU, 7 Syaaban 1440H, Sabtu – “Kedudukan saya akan diputuskan oleh Tuanku hari ini,” kata Datuk Osman Sapian ketika mengulas pertemuan beliau dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pagi tadi.


Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini selepas pertemuan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu berkata, beliau juga sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri besar kepada Sultan Ibrahim.


“Tuanku tidak membaca surat peletakan jawatan saya dan berkata baginda akan menyimpannya sebagai cenderamata.


“Ketika majlis menghadap itu Tuanku juga menyatakan syarat tertentu, termasuk rombakan anggota Exco negeri sebagai salah satu perjanjian melantik menteri besar baharu,” katanya selepas menghadap Sultan Johor jam 10.30 pagi tadi.


Osman berkata, beliau diarah datang semula ke istana jam 6 petang ini.


Sultan Ibrahim pulang ke Johor semalam, selepas berada di luar negara, termasuk mengadakan lawatan rasmi di Bahrain.


Selasa lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Osman meletak jawatan berkuat kuasa 8 April.


“Beliau (Osman) telah meletak jawatan semalam dengan menyerahkan surat kepada saya dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” kata Perdana Menteri pada sidang media di lobi Parlimen.


Bagaimanapun, beliau berkata, Osman tidak menyatakan sebab beliau meletak jawatan.


Susulan pengumuman Dr Mahathir, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman Twitter baginda menyatakan titah menukar menteri besar bukan perkara baharu, sebaliknya ia sudah lama diteliti Sultan Johor.


“Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan. Jangan lupa kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking.


“Saya harap Menteri Besar yang baru bukanlah ‘yes man’ Putrajaya saja. Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Johor mesti diutamakan,” tulis Tunku Ismail.


Sementara itu, Presiden Bersatu yang juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Sultan Ibrahim, esok atau lusa bagi menyembahkan nama baharu calon menteri besar bagi mendapat pekenan baginda.


The post ‘Tuanku anggap surat saya letak jawatan sebagai cenderamata’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop