Expired : 18.06.18

Tumpukan pembangunan Johor demi kepentingan rakyat


KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pentadbiran negeri Johor akan berjalan lancar dan tumpuan sepenuhnya diberi kepada usaha memajukan negeri itu demi kepentingan rakyat susulan peralihan kepimpinannya.


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sekali gus menjunjung kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar kerana memperkenan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor yang baharu seperti yang dicadang pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).


Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah memberi panduan, sokongan dan kepercayaan penuh kepada PH Johor untuk mencari muafakat dalam menjayakan peralihan kepimpinan kerajaan negeri.


Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, dalam satu kenyataan hari ini, mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin atas pelantikan itu dan berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan penuh beramanah dan berintegriti.



Sementara itu, Pengarah Media Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri (gambar kanan) menyifatkan pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu daripada Bersatu adalah bukti persefahaman dan kerjasama kukuh antara komponen PH di negeri ini.


“Ucapan terima kasih juga wajar dihulur kepada ketua-ketua komponen parti PH Johor kerana mencapai kata sepakat bahawa Menteri Besar Johor adalah dari Bersatu.


“Bersatu Johor juga yakin dan menaruh harapan yang tinggi ke atas keupayaan Dr Sahruddin untuk memimpin Johor sebagai sebuah negeri maju dan kubu kuat PH,” kata beliau dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.


Adun Tenang itu, berkata, kepimpinan Bersatu peringkat bahagian harus memberi sokongan padu kepada Dr Sahruddin untuk melaksanakan tugasnya termasuk mengukuhkan parti.


Selain itu, Bersatu turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Osman Sapian atas khidmat cemerlang sepanjang khidmatnya sebagai menteri besar pertama Pakatan Harapan.


Mohd Solihan turut meminta segala serangan peribadi terhadap pemimpin kerajaan negeri dihentikan termasuk dari parti pihak pembangkang sebaliknya menyeru mereka bersama-sama membantu dan menyokong pelaksanaan pembangunan untuk kepentingan rakyat Johor.


“Sebarang teguran membina harus disalurkan melalui cara yang betul dan elakkan daripada mengelirukan rakyat untuk kepentingan diri dan perjuangan sempit,” tambah beliau.


Dr Sahruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-17 di Istana Bukit Serene, di sini, pagi tadi.


The post Tumpukan pembangunan Johor demi kepentingan rakyat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop