Expired : 18.06.18

Tun M malu tandas awam Malaysia kotor, busuk


PUTRAJAYA, 12 Zulhijjah 1440H, Selasa – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau amat malu dengan keadaan tandas awam di negara ini yang kotor dan busuk yang menurutnya mencerminkan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik.


“Saya amat malu kerana saya sering kali pergi inspection toilet di Malaysia untuk tengok bersih atau tidak, biasanya tidak, dan busuk.


“Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita. Sepatutnya kita berasa malu, tetapi kita berpendapat, tak ada orang akan tahu siapa (yang) buat,” katanya ketika berucap melancarkan Pendidikan Sivik, di sini hari ini.


Berbeza dengan keadaan tandas awam di sesetengah negara lain yang amat bersih, beliau berkata ini kerana pengguna di negara berkenaan tidak mengotorkan keadaan.


“Kenapa? (kerana) dia rasa bertanggungjawab dan menghargai pandangan masyarakat terhadap dirinya. Dengan itu dia akan jaga supaya dirinya bersih, dan tidak lakukan sesuatu yang mengotorkan tandas,” katanya.


Begitu juga, katanya perbuatan lain yang mencemar dan merosakkan alam sekitar seperti membuang sampah merata-rata, mencuri dan menconteng dinding.


“Kalau dia conteng dinding cara yang terbaik (mural) tak apa juga. Tetapi (perbuatan mereka) ini cuma mencemarkan kebersihan dinding-dinding yang terdapat di (tepi) jalan dalam bandar,” katanya.


Beliau berkata, ia bukan disebabkan undang-undang yang tidak ketat, tetapi individu sendiri gagal mengawal dan mendisiplinkan diri.


Seperti yang diketahui ramai, Dr Mahathir tertarik terhadap budaya orang Jepun yang mengutamakan kebersihan.


“Sehingga anak mereka dari kecil lagi, apabila terdapat kertas yang perlu dibuang, kertas balutan makanan umpamanya, mereka tidak buang kertas itu di mana saja mereka berada, sebaliknya mereka melipat jadi kecil dan membuangkannya dalam tong sampah,” katanya. – Bernama


The post Tun M malu tandas awam Malaysia kotor, busuk appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop