Expired : 18.06.18

Tun M Menjelaskan Nasib Malaysia Sekiranya Najib Menang PRU14 Baru-baru Ini.

PUTRAJAYA – Negara boleh bankrap sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak terus diberikan mandat pada PRU14 lalu.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia berdasarkan manifesto Najib yang berjanji akan memberikan peruntukan besar kepada setiap negeri jika BN terus memerintah negara.


“Kalau Najib menang, dalam manifesto dia janji nak bagi tiap-tiap negeri, RM60 bilion, RM70 bilion, RM80 bilion. Kita ada 13 buah negeri. Persoalannya, duit yang dia nak bagi itu datang daripada mana?


“Dia akan pinjam lagi. Ia akan jadi lagi banyak. Bukan RM1 trilion sahaja. Jadi bila sampai kepada tahap kita tidak mampu untuk membayar. Hutang kalau kita tidak bayar, boleh diumumkan negara kita bankrap,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian.


Menurutnya, beliau turut hairan mengapa Najib sanggup berhutang dengan kadar bunga enam peratus selain komisen sebanyak 10 peratus yang disifatkannya cukup tinggi.


“Dulu waktu saya jadi perdana menteri, ya kita bangunkan banyak juga. Kita ada Lebuh raya Utara-Selatan, lapangan terbang, kereta api landasan berkembar dan sebagainya. Macam-macam kita buat tetapi kita tidak hutang banyak.


“Kalau kita nak hutang pun kita berkira. Jepun bagi hutang dengan kadar bunga hanya 0.7 peratus. Macam dapat percuma sahaja. Tetapi Najib hutang dengan kadar bunga enam peratus, komisen 10 peratus. Saya tidak tahu mengapa dia buat seperti itu. Saya hairan. Bermakna dia tidak peduli kalau negara jadi bankrap,” katanya.


Justeru, apa yang mahu dilakukan oleh kerajaan kini adalah untuk mengurangkan pinjaman dan dalam masa sama meminimumkan hutang yang sedang ditanggung negara.


“Kalau dia menang dia nak buat lagi. Dia dah kata dalam manifesto. Sebab itu kita bukan nak belanja lagi. Kita nak kurangkan. Kalau kita nak bayar, kita kena cari jalan. Bukan nak pinjam untuk membayar.


“Negara tidak patut hutang lebih daripada kemampuan. Kita belanja setakat kita mampu sahaja,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


PH MAHU KEMBALIKAN URUSAN ISLAM KEPADA RAJA-RAJA MELAYU



KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Amanah Nasional (AMANAH), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, tegas dengan pendirian bahawa Pakatan Harapan (PH) mahu mengembalikan peranan Raja-raja Melayu sebagai penjaga kepentingan Islam dalam kerangka negara dan membebaskan Islam daripada dieksploitasi sebagai alat politik dan radikalisasi.


Beliau berkata, ini kerana Raja-raja Melayu adalah institusi yang tidak mempunyai kepentingan politik dan boleh berperanan mengekang dan memastikan Islam tidak dipolitikkan, sebaliknya memastikan Islam menjangkau lebih daripada kepentingan politik dan bangsa.


Katanya, fenomena agama dipolitikkan sebagai alat dalam kerangka negara tanpa disedari telah membelakangkan fungsi utama Raja-raja Melayu sebagai penentu dasar pentadbiran Islam seperti termaktub dalam dalam Perlembagaan.


“Mengembalikan fungsi Raja- raja Melayu dalam pentadbiran Islam adalah tunggak utama untuk memulakan reformasi atau Islah yang dimaksudkan oleh PH,” katanya dalam akaun Facebook parti itu hari ini.


Beliau berkata, sejak isu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperkatakan susulan cadangan mengkaji semula fungsi dan peranan jabatan itu baru-baru ini, wujud pelbagai reaksi, termasuk dakwaan kononnya JAKIM akan dihapuskan.


Sebaliknya, beliau mendakwa mereka tidak melihat gambaran lebih besar hasrat PH untuk membebaskan pentadbiran Islam daripada menjadi ‘tunggangan’ pihak berkepentingan, sama ada kelompok politik mahupun kelompok pengganas atau golongan agamawan.


Katanya, ia bukan isu JAKIM hendak dihapuskan atau tidak, sebaliknya ia usaha PH mengembalikan semangat dan amalan bahawa Islam itu menjangkau semua kepentingan politik dan untuk memulakan proses itu, ia perlu dikembalikan kepada kuasa Raja-raja Melayu supaya usaha reformasi pentadbiran Islam dapat berjalan lancar.


“Kebimbangan kepada sesuatu yang baru adalah tanda positif tentang perasaan mahu yakin bahawa sesuatu perubahan akan menguntungkan kita atau tidak. Begitu juga kebimbangan bagi sesetengah pihak ini turut dikuasai sikap prejudis dan pesimis terhadap apa sahaja yang baharu.


“PH konsisten sejak awal lagi menyatakan hasrat mahu membawa reformasi institusi negara. Sementara isu kebobrokan tatakelola kewangan negara di bawah Barisan nasional (BN) menjadi topik utama, isu reformasi pentadbiran agama Islam juga sebenarnya berada dalam pelan reformasi menyeluruh PH,” katanya.


Dr Mujahid juga menjelaskan bahawa semua pihak harus akur bahawa mengkritik pentadbiran agama bukan bermakna mengkritik intipati agama kerana aspek pentadbiran adalah atas usaha daya manusia yang terdedah kepada kelemahan dan kesilapan.


“BN selama ini melalui institusi agama mendoktrinkan seolah-olah mengkritik institusi agama seperti JAKIM, Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah adalah seperti memandang rendah kepada agama Islam itu sendiri. Ini doktrin yang songsang dan mendedahkan Islam menjadi ‘tunggangan’ pihak tertentu,” katanya.


Menurut beliau, ia amat berbahaya kepada pentadbiran Islam yang senantiasa dianggap jumud dan tidak profesional kerana merasakan ia bukan sahaja tidak boleh ditegur dan dikritik, malah lebih buruk lagi, institusi itu ada nama Islam sedangkan Islam menuntut profesionalisme dalam konsep pemulihan berterusan.


“Amat membimbangkan lagi ialah institusi Islam ini dipolitikkan bagi tujuan persaingan untuk membuktikan siapa yang lebih Islamik. Institusi Islam juga menjadi platform doktrinasi permusuhan antara kaum dan agama melalui teori konspirasi yang tidak terbukti.


“Siapa yang berani pertikaikan mereka kerana mereka ‘mewakili Islam?’ Sepatutnya institusi Islam mendekatkan hubungan antara agama seperti diperintahkan bukan menanam bibit kebencian seperti yang dilarang oleh Islam,” katanya.


Beliau juga memberikan contoh dengan mendakwa isu RUU 355 adalah taktik politik semata-mata untuk meraih sokongan politik tanpa ada tanggungjawab kesatuan ummah sehingga ramai yang jadi ‘kafir’, ‘anti-Islam’, ‘liberal’ dan kerajaan BN membiarkan ‘penunggang agama’ berleluasa tanpa kawalan, malah mengambil kesempatan untuk membuktikan keislamannya dalam isu ini.


Dr Mujahid juga berkata, Islam menjangkau politik dan kepartian, selain adalah cara hidup dan teras kepada kewujudan negara.


Namun, katanya, bagi sesetengah pihak, agama menjadi alat radikalisasi untuk mencapai maksud ‘kebenaran mutlak’ dari partinya dan kelompoknya, justeru bibit pemikiran keganasan menjadi medan subur menggugat keselamatan negara.


“Di mana peranan institusi Islam membendung semua ini? Lebih buruk kerajaan BN sebelum ini membiarkan radikalisasi terancang untuk kepentingan politik mereka melalui institusi Islam,” katanya.


Norlida Ishak Shop